بسم الله الرحمن الر حيم
إن الحمد لله نحمده تعالى ونستعينه ونستغفره ، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا ، من يهديه الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له ، واشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، واشهد أن محمد عبده ورسوله
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون} سورة: آل عمران– الآية: 102
OLEH:AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANUR
Beriman Kepada Qada’ dan Qadar
Mengikut terminologi Qada’ adalah pengetahuan Allah tentang perbuatan yang lampau, sedang dan yang akan berlaku telah ditetapkan-Nya sejak azali dan tertulis di dalam Lauh Mahfuzh. Adapun Qadar adalah terjadinya suatu perkara yang baik mahupun buruk sesuai dengan prinsip sifatnya, ukurannya, dan syarat-syaratnya mengikut aturan dan kehendak Allah Taala. (Aqidatuna, Juzuk 2)
Beriman dengan Qada’ dan Qadar termasuk salah satu daripada kewajiban Rukun Iman, meyakini bahawa seluruh penciptaan alam semesta mengikut ilmu Allah dan kebijaksanaan-Nya, sesungguhnya Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu dan berkuasa melakukan perkara yang dikehendaki-Nya.
إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ
Maksudnya : “Sesungguhnya Kami menciptakan setiap sesuatu menurut Qadar (yang telah ditentukan).” (al-Qamar:49)Sabda Rasulullah s.a.w :
إِنَّ أَوَّلَ مَا خَلَقَ اللَّهُ الْقَلَمَ فَقَالَ لَهُ : اكْتُبْ قَالَ : رَبِّ وَمَاذَا أَكْتُبُ؟ قَالَ : اكْتُبْ مَقَادِيرَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ
Maksudnya : “Sesungguhnya yang pertama diciptakan oleh Allah adalah ‘Al-Qalam’. Allah berfirman kepadanya ; ‘Tulislah.’ Al-Qalam pun berkata; ‘Ya Tuhan, apakah yang aku akan tulis?’ Allah berfirman; ‘Tulislah akan qadar (ketetapan) dan segala apa yang terjadi sehingga menjelang Kiamat.” (Riwayat Abi Daud)
Firman Allah :
مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الأَرْضِ وَلا فِي أَنفُسِكُمْ إِلاَّ فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ
Maksudnya : “Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Al-Hadid:22)
Para salaf as-soleh meyakini dengan sepenuh keimanan bahawa Allah Taala mencipta tiap-tiap sesuatu, mentadbir dan memilikinya. Allah telah menentukan perkara yang akan terjadi sebelum menjadikannya. Dia telah menentukan ajal, rezeki dan kerja yang mereka lakukan. Dia telah menulis kesudahan mereka sama ada menjadi bertuah atau ditimpa celaka. Semuanya telah ditulis dalam catatan yang jelas dan nyata.
Setiap perkara yang Allah kehendaki akan berlaku dan setiap perkara yang tidak dikehendaki tidak akan berlaku. Allah mengetahui perkara yang telah lepas, sedang berlaku, akan datang, waktu dan cara ia berlaku. Allah berkuasa ke atas setiap sesuatu, memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki dan menyesatkan orang-orang yang dikehendaki.
Setiap hamba memiliki kehendak dan kuasa untuk melakukan semua perkara yang ditentukan oleh Allah ke atas mereka dengan keyakinan bahawa setiap hamba tidak mampu melakukan sesuatu kecuali dengan kehendak Allah. Kefahaman inilah yang dapat mendorong manusia untuk melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan bila ia sedar bahawa Allah sentiasa mengawasinya serta meminta pertanggungjawaban.
Firman Allah :
فَمَن شَاء فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاء فَلْيَكْفُرْ
Maksud : “Maka barang siapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barang siapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir.” (Al-Kahfi:29)Sesungguhnya Allah mencipta hamba-hamba-Nya serta perbuatan mereka dan mereka sendiri pula yang melakukan semua perbuatan yang mereka lakukan tanpa paksaan. Maka tidak ada hujjah bagi seorang hamba ke atas Allah sekiranya dia mahu meninggalkan perkara yang wajib atau melakukan perkara yang haram (bahawa ini adalah ketentuan Allah), bahkan Allah mempunyai hujjah yang kuat ke atas hamba-hamba-Nya.
Seorang hamba Allah yang beriman dengan ajaran Rasul-Nya, wajiblah menolak taqdir buruk dengan taqdir baik. Di mana kufur itu dihilangkan dengan iman, kezaliman dengan keadilan, peperangan dengan perdamaian, maksiat dengan ketaatan, penyakit dengan ubat, kebodohan dengan pengetahuan, kekalahan dengan jihad, kemiskinan dengan bekerja dan begitulah seterusnya.
Keyakinan terhadap Qada’ dan Qadar Allah memerlukan seseorang melaksanakan tiga perkara;
Pertama: Hendaklah berdoa kepada Allah agar mempermudahkan baginya untuk mendapat kesenangan dan menjauhkannya daripada kesusahan dan segala larangan-Nya di samping bertawakkal kepada Allah dan meminta perlindungan daripada-Nya, maka jadilah ia sentiasa bergantung dengan Allah untuk mendapatkan perkara yang baik dan meninggalkan kejahatan.
Firman Allah :
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُواْ لِي وَلْيُؤْمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksud : “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah:186)Kedua: Hendaklah berusaha mencapai tujuan akhirat sebagaimana usaha yang dilakukan untuk mencapai tujuan dunia. Adalah sangat menghairankan jika dalam urusan akhirat segala amal usaha ditinggalkan sementara dalam urusan dunia masing-masing sedar bahawa hanya beristirehat tanpa usaha dan perancangan adalah salah satu bentuk amalan menuju pengangguran dan kemiskinan.
Sabda Nabi s.a.w :
احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ
Maksudnya : “Hendaklah kamu melakukan perkara yang mendatangkan manfaat kepada kamu, dan mintalah pertolongan kepada Allah, jangan kamu mudah berasa lemah (malas). Sekiranya musibah menimpa kamu maka janganlah kamu berkata; ‘Kalaulah dulu aku lakukan begitu tentu ia akan jadi begini’, tetapi katakanlah, ‘Allah telah menentukan dan setiap yang dikehendaki-Nya akan dilakukan-Nya’. Lantaran kerana perkataan ‘kalau’ akan membuka peluang kepada syaitan.” (Riwayat Muslim)Rasulullah s.a.w membimbing umatnya untuk bersemangat menempuh usaha yang bermanfaat dalam urusan dunia dan juga akhirat. Perintah Rasulullah s.a.w kepada umatnya untuk berusaha itu, baginda gabungkan dengan iman kepada taqdir, ini menunjukkan bahawa beriman kepada taqdir tidak menafikan keperluan strategi dan usaha untuk mencapai sesuatu hajat.
Ketiga: Hendaklah bersabar di atas perkara yang telah ditentukan ke atasnya dan tidak meratap atau menyesal, setelah dia mengetahui bahawa semua yang terjadi adalah dengan kehendak Allah maka dia redha dan berserah diri. Dia seharusnya mengetahui bahawa dia tidak mungkin terlepas daripada perkara yang ditetapkan untuk menimpanya dan perkara yang tidak ditetapkan ke atasnya tidak akan menimpanya.
Firman Allah :
قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلاَّ مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلانَا وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
Maksud : “Katakanlah (wahai Muhammad); Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.” (Taubah:51)Ketika kekhalifahan Umar al-Khattab r.a, beliau telah bermusafir bersama beberapa orang sahabat dari Madinah ke tanah Syam. Peristiwa ini berlaku pada bulan Rabi’ul Akhir tahun 18 H, di mana perjalanan Umar adalah untuk melihat keadaan rakyat dan para gabenurnya. Setelah beberapa hari menempuh perjalanan, rombongan Umar mendapat berita bahawa Syam telah dilanda wabak ta’un ‘Amwas. Umar kemudiannya bermusyawarah bersama para sahabat di dalam jemaah rombongan itu dan masing-masing sepakat memutuskan untuk kembali ke Madinah.
Abu Ubaidah r.a yang ketika itu menjadi gabenur di Syam berkata mempersoalkan keputusan Umar al-Khattab r.a, “Wahai Amiral Mukminin, mengapa kamu lari daripada taqdir Tuhan?”
Umar r.a lantas menjawab, “Ya, aku lari daripada taqdir Allah kepada taqdir yang lain. Apa pendapatmu wahai Aba Ubaidah seandainya engkau memiliki seekor unta yang turun di sebuah lembah yang memiliki dua lereng, salah satunya subur dan yang keduanya tandus, bukankah jika engkau membiakkannya di tempat yang subur bererti engkau menggembala untamu itu dengan taqdir Allah? Begitu pun sebaliknya, jika engkau membiakkannya di tempat tandus, bukankah engkau menggembalakannya juga dengan taqdir Allah?”
Tiba-tiba datang Abdurrahman bin ‘Auf kerana keperluannya lalu berkata;
إِنَّ عِنْدِي مِنْ هَذَا عِلْمًا، سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ؛ إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ
Menurut sejarah, ta’un ‘Amwas yang berlaku pada zaman kekhalifahan Umar telah mengorbankan sekitar 25’000 – 30’000 kaum Muslimin. Di antara mereka yang meninggal dunia akibat wabak ini adalah Abu Ubaidah ‘Amir bin Al-Jarrah r.a, salah seorang daripada sepuluh orang sahabat Nabi yang mendapat jaminan syurga Allah Taala.
Taqdir mengikut pandangan ulama’Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah;
Taqdir Mubram: Iaitu taqdir yang muktamad dan ia tertulis di Lauh Mahfuz. Tidak ada apa-apa pengurangan, penambahan atau pengubahan kepada taqdir ini. Ia adalah ketentuan Allah Taala yang pasti berlaku dan tidak dapat dihalang oleh sesuatu apa pun. Contohnya: Kehidupan dan Kematian.
Taqdir Mu’allaq: Iaitu taqdir yang tertulis yang boleh tetap dan boleh berubah dengan kehendak Allah, bergantung kepada sebab-sebab yang diusahakan oleh manusia. Mu'allaq bererti tergantung. Ia adalah ketentuan yang tidak semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu perkara. Contohnya: Panjang umur bergantung kepada menghubungkan silaturrahim dan amal kebajikan yang lain, seperti dalam sabda Rasulullah s.a.w :
لَا يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلَّا الدُّعَاءُ، وَلَا يَزِيدُ فِي الْعُمْرِ إِلَّا الْبِرُّ
Maksud : “Tidak boleh ditolak ketetapan Allah Taala melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan berbuat baik kepada ibu bapa.” (Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi)Menurut ulama Ahl as-Sunnah, doa berpengaruh dalam mengubah apa yang telah tertulis dalam konteks Taqdir Mu'allaq. Dengan berdoalah seseorang hamba itu akan merasakan dirinya lemah dan berhajat kepada Allah. Akan tetapi perubahan yang kita pohon itupun sudah ditetapkan melalui doa. Janganlah kita menyangka apabila berdoa, bererti meminta sesuatu yang belum tertulis, bahkan doa kita telah tertulis dan apa yang terjadi kerananya juga telah tertulis.
Begitu juga penyakit yang merupakan taqdir Allah boleh disembuhkan melalui rawatan dan pegharapan yang bersungguh-sungguh kepada-Nya, ia juga termasuk dalam Taqdir Mu’allaq. Rasulullah s.a.w pernah ditanya;
يَا رَسُوْلَ اللهِ أَرَأَيْتَ رِقًى نَسْتَرْقِيْهَا وَدَوَاءٌ نَتَدَاوَى بِهِ وَتُقَاةٍ نَتَّقِيْهَا، هَلْ تَرُدٌّ مِنْ قَدْرِ اللهِ شَيْئًا؟ قَالَ: هِيَ مِنْ قَدْرِ اللهِ
Maksud : “Ya Rasulallah, bagaimana pandanganmu terhadap ruqyah-ruqyah yang kami gunakan untuk jampi, ubat-ubatan yang kami gunakan untuk menyembuh penyakit, perlindungan-perlindungan yang kami gunakan untuk menghindari daripada sesuatu, apakah itu semua boleh menolak taqdir Allah? Jawab Rasulullah s.a.w; ‘Semua itu adalah (juga) taqdir Allah.” (Riwayat Tirmizi)Firman Allah :
إِنَّ اللَّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمْ
Maksud : “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’du:11)Maka, apa yang tercatat dalam Taqdir Mu’allaq boleh diubah oleh Allah atas sebab-sebab yang diusahakan oleh manusia dengan kehendak Allah. Namun perubahan itu tidak terkeluar daripada apa yang Allah sedia ketahui dan tulis dalam Taqdir Mubram. Dalil untuk dua jenis taqdir ini ialah firman Allah Taala :
يَمْحُو اللَّهُ مَا يَشَاء وَيُثْبِتُ وَعِندَهُ أُمُّ الْكِتَابِ
Maksud : “Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki, dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisi-Nya-lah terdapat Umm al-Kitab.” (Ar-Ra'd:39)“Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki),” ia merujuk kepada Taqdir Mu'allaq.
“Dan di sisi-Nya-lah terdapat Umm al-Kitab,” merujuk kepada Taqdir Mubram.
Ibnu Kathir r.hm menafsirkan “Umm al-Kitab” tersebut adalah perkara yang halal dan yang haram. (Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir)
Allah Taala telah menjadikan kepada ketentuan ini beberapa sebab yang boleh menolak dan mengangkatnya seperti berdoa, sedekah jariah, pengetahuan, perubatan, dan sebagainya. Kerana makna beriman terhadap Qada' dan Qadar sama sekali tidak menafikan kewajipan kita berusaha dan berikhtiar melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini.
Allah pemilik Zat Yang Maha Adil, tidak akan sesekali menzalimi hamba-Nya, barangsiapa yang jujur dalam melaksanakan amal soleh pasti akan dimudahkan jalan menuju Syurga.
فَأَمَّا مَن أَعْطَى وَاتَّقَى. وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى. فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَى
Maksud : “Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah.” (Al-Lail:5-7)Firman Allah lagi :
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya : “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh (kerana memenuhi kehendak agama Kami), sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Al-Ankabut:69)Dengarkan pula firman Allah tentang penduduk neraka yang mereka kekal di dalamnya mengharapkan kembali ke alam dunia, Allah Maha Mengetahui apa yang akan mereka lakukan seandainya dikembalikan ke dunia di dalam surah Al-An’am ayat 27 hingga 28;
وَلَوْ تَرَىَ إِذْ وُقِفُواْ عَلَى النَّارِ فَقَالُواْ يَا لَيْتَنَا نُرَدُّ وَلاَ نُكَذِّبَ بِآيَاتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksud : “Dan jika kamu (Muhammad) melihat ketika mereka dihadapkan ke neraka, lalu mereka berkata; ‘Kiranya kalau kami dikembalikan (ke dunia) dan tentulah kami tidak mendustakan ayat-ayat Tuhan kami, serta menjadi orang-orang yang beriman (tentulah kamu melihat suatu peristiwa yang mengharukan).”بَلْ بَدَا لَهُم مَّا كَانُواْ يُخْفُونَ مِن قَبْلُ وَلَوْ رُدُّواْ لَعَادُواْ لِمَا نُهُواْ عَنْهُ وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
Maksud : “Bahkan (sebenarnya) telah nyata bagi mereka kejahatan yang mereka dahulu selalu menyembunyikannya. Sekiranya mereka dikembalikan ke dunia, tentulah mereka kembali kepada apa yang mereka telah dilarang mengerjakannya. Dan sesungguhnya mereka itu adalah pendusta-pendusta belaka.” Demikianlah ilmu Allah, tidak ada sedikitpun yang terluput daripada pengetahuan-Nya. Berdasarkan ilmu Yang Maha Sempurna itu Allah menulis segala sesuatu yang akan terjadi, yang belum terjadi dan yang sudah terjadi di Lauh Mahfuzh, 50’000 tahun sebelum Allah ciptakan langit dan bumi. Rasulullah s.a.w bersabda;
كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلَائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ
Maksud : “Allah telah mencatatkan taqdir-taqdir sekalian makhluk-Nya 50’000 tahun sebelum diciptakan langit-langit dan bumi.” (Riwayat Muslim)Firman Allah :
وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلاَ مَرَدَّ لَهُ
Maksud : “Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu.” (Ar-Ra'd:11)Apa yang telah tercatat dalam Lauh Mahfuzh berlaku menurut kehendak Allah dengan penuh perincian melangkaui akal manusia, satu-persatu, tiada satupun yang terlepas daripada ilmu, kehendak dan penciptaan Allah Taala. Tiada sesuatu di alam ciptaan-Nya ini yang terjadi berlawanan dengan kehendak-Nya. Kerana Maha Luasnya pengetahuan Allah, maka tiada siapapun mampu menghitungnya secara tuntas sehingga hal ini diperhatikan oleh Imam Ja’afar as-Sodiq r.hm, sebagaimana katanya;
الناظر في القدر كالناظر في عين الشمس كلما ازداد نظراً ازداد حيرة
Maksud : “Orang yang terlalu memikirkan masalah Qadar ibaratnya seperti orang memandang terik mentari, semakin kuat ia melihat semakin bertambah ia merasa hairan.” (Jami’ Bayan al-‘Ilmi wa Fadhlih, Ibn ‘Abd al-Barr)Kerana manusia tidak mengetahui Qada’ dan Qadar-nya, maka manusia perlu kepada usaha dan doa tanpa berputus asa. Ambillah pengajaran tentang kesilapan masa lalu, agar kita tidak mengulanginya pada masa kini. Usah menyalahkan taqdir kerana semuanya itu mengandungi rahsia Allah yang tiada siapapun mampu merungkainya. Batasan tersebut diingatkan Rasulullah s.a.w kepada umatnya:
وَإِذَا ذَكَرَ اَلْقَدْرَ فَأَمْسِكُوْا
Maksud : “Jika ada yang menyebut perkara taqdir, maka hentikanlah mereka (membahas taqdir).” (Riwayat at-Tabarani)Semoga Allah sentiasa mencurahkan rahmat dan inayah-Nya kepada kita.
No comments:
Post a Comment