Strategik Dakwah
بسم الله الرحمن الر حيم
إن الحمد لله نحمده تعالى ونستعينه ونستغفره ، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا ، من يهديه الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له ، واشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، واشهد أن محمد عبده ورسوله
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون} سورة: آل عمران– الآية: 102
OLEH:AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURIikhwah dan akhawat sekalian,
“Sungguh akan terurai ikatan (agama) Islam itu satu demi satu! Apabila terurai satu ikatan, orang-orang pun bergantung pada ikatan berikutnya. Ikatan yang pertama sekali terlepas ialah hukum, sedangkan yang terakhir sekali terlepas ialah solat.” (HR Ahmad)
Sabda Rasulullah saw di atas mengandungi dua informasi :
PERTAMA : Informasi negatif tentang akan berlakunya penurunan dari segi pengamalan ajaran Islam.
KEDUA : Informasi positif tentang karakteristik ajaran Islam yang mencakupi seluruh aspek kehidupan meliputi urusan dunia dan urusan akhirat termasuk urusan hukum (pemerintahan) dan urusan peribadatan.
Dalam perspektif gerakan dakwah, dua informasi tersebut mengingatkan kita bahwa kerja gerakan dakwah dalam melakukan pengislahan dan perubahan mesti menyentuh seluruh aspek kehidupan.
Gerakan dakwah berkewajiban untuk :
1. Terus bekerja dengan penuh kesabaran.
2. Menjalin kembali ikatan Islam yang telah terurai itu satu demi satu mulai dari ikatan solat hingga ikatan hukum / pemerintahan.
Untuk itu diperlukan gerakan dakwah yang menyeluruh (dakwah syamilah).
Maksudnya, gerakan dakwah mesti mampu melakukan :
a. Mobilisasi melintang berupa gerakan kebudayaan.
b. Mobilisasi menegak berupa gerakan organisasi.
Mobilisasi melintang adalah penyebaran aktivis dakwah ke pelbagai kalangan dan lapisan masyarakat untuk menyediakan masyarakat agar mereka menerima manhaj Islam serta produk strategik yang Islamik.
Manakala mobilisasi menegak pula adalah penyebaran aktivis dakwah ke pelbagai institusi yang menjadi pusat-pusat ketetapan polisi agar mereka dapat menterjemahkan konsep dan nilai-nilai Islam ke dalam polisi umum.
Inilah perancangan strategik dakwah yang mesti dilaksanakan dan usaha ini adalah suatu pekerjaan yang sangat berat namun, kita yakin dengan berbekalkan keikhlasan dan kesungguhan kerja, ianya akan mendatangkan dukungan dan pertolongan Allah swt.
“Orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) kami, benar- benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. dan Sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (QS Al-Ankabut : 69)
KERJA DAKWAH
Mobilisasi secara melintang dan menegak akan berjalan secara berkesan dan mencapai sasaran yang dikehendaki apabila didukung oleh kerja dakwah yang utama:
PERTAMA : Menyebarluaskan hidayah Allah swt (Nasyrul Hidayah)
Usaha ini boleh dilaksanakan secara :
a. Lisan (qaulan).
b. Amal (amalan).
c. Contoh tauladan (qudwatan).
sehingga benih-benih kebaikan dapat tumbuh subur di tengah-tengah masyarakat.
Seorang muslim adalah juga duta khusus aktivis gerakan Islam yang semestinya menjadi teladan tentang nilai-nilai Islam dalam dirinya iaitu :
1. Ketika bekerja.
2. Ketika berbicara.
3. Ketika makan dan minum.
4. Dalam akhlak dan tarbiyah.
5. Dalam menunjukkan simpati kepada orang lain.
6. Dalam menjaga lisan dan jujur dalam percakapan.
7. Dalam tolong-menolong antara sesama muslim.
Apabila ia melakukan semua itu kerana Allah, ia akan menjadi peribadi yang bagaikan batu bata dalam membangun masyarakat Islam.
Sedarilah wahai para pendakwah bahwa sesungguhnya masyarakat tidak akan berubah menjadi lebih komited jika mereka tidak mengenal hidayah Allah dan bagaimanakah mereka dapat mengenal hidayah Allah tanpa contoh tauladan dan bimbingan dari para ulama’ dan para pendakwah?
Oleh kerana itu, setiap kita mesti mengambil peranan. Kita mesti bekerjasama untuk menciptakan situasi yang kondusif bagi tumbuhnya satu suasana kebudayaan Islam di tengah-tengah masyarakat.
Para wartawan dan penulis perlu berperanan menjadi pelopor dalam melakukan kebaikan dan meluruskan pemikiran masyarakat melalui media informasi, contohnya melalui suratkhabar atau majalah yang mereka miliki. Media-media tersebut mesti mengeluarkan masyarakat dari kebejatan moral serta lebih mempedulikan soal pembinaan akhlak dan berusaha membentuk pandangan umum.
Yayasan-yayasan kebajikan mesti menjalankan peranannya dalam membantu fakir miskin, menyediakan keperluan orang-orang yang serba kekurangan, memberikan bantuan untuk pelajar serta menyebarkan sifat kedermawanan di tengah-tengah masyarakat.
Parti-parti politik mestilah menjaga kesatuan bangsa dan kehormatannya serta memperjuangkan kemerdekaan negara dengan harta, jiwa dan usaha.
Organisasi-organisasi Islam dengan pelbagai corak aktivitinya mesti berusaha mewarnai masyarakat dengan nilai-nilai Islam sejagat.
Para penjawat awam yang soleh mesti melakukan perbaikan dalam jabatan yang mereka tangani. Setiap muslim mesti membela, melindungi dan mempertahankan kebaikan dalam semua segi kehidupan dalam masyarakat.
Drama dan filem yang bercorak Islamik mesti menjadi alternatif di tengah-tengah gempuran filem-filem picisan dan acara-acara televisyen yang merosakkan.
Bank-bank Islam mesti menyedarkan umat dari bahaya riba yang telah menjerumuskan mereka dalam ekonomi berasaskan riba.
Para wakil rakyat dan anggota parlimen mesti menjadi perisai dalam menjaga nilai-nilai moral.
Institusi pendidikan Islam mesti mencetak dan membina para mahasiswa dan mahasisiwinya dengan menjadikan Islam sebagai prinsip.
Seluruh elemen masyarakat mesti didorong untuk melakukan kebaikan dan menjauhkan diri dari keburukan serta melakukan Islamisasi dalam kehidupan mereka. Dengan usaha tesebut, maka akan terbinanya suatu masyarakat yang berwibawa.
KEDUA : Menyebarluaskan idealisma agar masyarakat memiliki semangat perjuangan dan dukungan kepada kehidupan yang lebih Islamik (Nasyrul Fikrah)
Kegiatan ini dilakukan dengan :
a. Mentarbiyah umat.
b. Mengingatkan masyarakat.
c. Mengubah pandangan umum.
d. Menyucikan jiwa.
e. Membersihkan ruhani.
f. Menyebarkan prinsip kebenaran.
g. Berjihad dan bekerja menyebarkan nilai-nilai keutamaan di tengah umat manusia.
Di antara wasilah yang dapat digunakan oleh para aktivis dakwah adalah :
a. Majlis Ilmu.
b. Seminar.
c. Ceramah.
d. Khutbah.
e. Kunjungan dakwah.
f. Institusi kajian.
Selain itu, adalah sangat baik jika gerakan Islam mampu mengeluarkan media informasi samada secara cetak atau elektronik yang dapat merebut pandangan umum untuk mendukung fikrah Islam.
Selain itu, aktivis dakwah hendaknya tidak enggan melakukan penyebaran fikrah ini secara langsung kepada lingkungan terdekatnya.
Bukankah di sekitar rumah kita ada masjid yang dapat mempertemukan kita sebanyak lima kali dalam sehari dengan jiran tetangga kita?
Sudahkah kita menyampaikan kepada mereka apa yang semestinya kita sampaikan?
Ada suatu perkara yang unik yang patut kita teladani dari para aktivis dakwah dari negara lain iaitu di Turki.
Mereka memiliki petugas yang bertanggungjawab mengurus setiap bahagian jalan.
1. Setiap petugas mengetahui dan mengenal betul semua orang yang ada di sekitar dan di sepanjang jalan tersebut.
2. Setiap mereka menyempatkan diri untuk berkunjung ke rumah-rumah yang ada di sisi jalan yang menjadi tanggungjawabnya.
3. Setiap mereka mengucapkan rasa gembira pada ketika bergembira dan memberikan ucapan takziah jika sedang ditimpa musibah.
Dari sepanjang jalan inilah mereka menyampaikan fikrah dan sikap organisasi mereka.
Persoalan buat kita :
Apakah kita pernah berkunjung dan berbicara dengan jiran tetangga kita di rumahnya?
Sebenarnya, pekerjaan ini sangat mudah untuk dilakukan bagi mereka yang mahu mencubanya.
Islam adalah agama untuk semua manusia. Jika kita lalai menyampaikan informasi tentang keislaman, maka kita termasuk orang yang berdosa.
Gerakan Islam yang hakiki adalah gerakan yang melakukan dakwah dan tabligh. Dengan mengajak itulah kita akan dapat membentuk pandangan umum pada masyarakat. Dengan cara seperti itu juga, kita akan dapat mewarnai masyarakat dengan warna Islam untuk menuju perubahan.
KETIGA : Menggiatkan aktiviti ‘amar ma’ruf’ dan ‘nahi munkar’
Ini adalah suatu usaha untuk melakukan pensejajaran, koordinasi dan mobilisasi seluruh potensi positif yang membina di tengah-tengah masyarakat agar memberikan kemaslahatan bagi umat, bangsa, negara, kemanusiaan, dakwah dan sebagainya serta melakukan langkah-langkah mengurangkan atau mempersempitkan ruang gerak kemungkaran.
Jika dikaitkan dengan hadits di atas, yang memberi kita ilham tentang visi dakwah yang menyeluruh, maka aktiviti dakwah dan ‘amar ma’ruf nahi munkar’ yang kita lakukan mestilah menyentuh seluruh aspek :
a. Aspek ibadah, dimulai dari bagaimana mengajak solat ke masjid, berpuasa, zakat, infaq, sedekah, haji, membenteras judi, arak, pelacuran dan sebagainya.
b. Aspek keadilan, perundangan dan pemerintahan, dimulai dari membenteras rasuah dan mengurangkan jurang kemiskinan dan pengangguran, membela nasib buruh, petani dan nelayan, menegakkan hak asasi manusia, menegakkan permesyuaratan dan pembangunan ekonomi umat, mengurangkan diskriminasi di hadapan ketetapan hukum, melestarikan lingkungan hidup, membangun ilmu pengetahuan dan teknologi dan seterusnya.
Dari Abu Sa’id Al Khudri ra, beliau berkata, saya mendengar Rasulullah saw bersabda :
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia merubah (mengingkari) dengan tangannya, jika tidak mampu hendaklah ia merubah (mengingkari) dengan lisannya, jika tidak mampu hendaklah ia merubah dengan hatinya, dan itulah keimanan yang paling lemah.” (HR Muslim)
KEEMPAT : Memelihara identiti masyarakat Islam dan penampilan Islam
Simbol-simbol keislaman mesti dimunculkan, samada yang bersifat fizikal (bangunan masjid, surau, madrasah) atau aktiviti (pendidikan Islam, majlis ilmu).
Identiti dan penampilan ini juga hendaklah muncul dalam perhiasan, pakaian, simbol-simbol, hiburan dan berbagai bentuk penampilan fizikal masyarakat termasuk pula dalam perilaku dan ucapan.
Masyarakat mesti sentiasa diarahkan untuk memiliki penampilkan yang Islamik dalam kehidupan seharian serta berbangga dengannya. Para muslimah berbangga dengan pakaian muslimah yang mereka kenakan dan anak-anak muda pula berbangga dengan kesenian yang Islamik.
Secara idealnya, simbol-simbol yang dimunculkan itu mestilah selaras pula dengan tradisi masyarakat yang tidak bertentangan dengan syariah Islam.
Simbol mungkin bukan perkara yang mesti diletakkan sebgai nombor satu namun ia penting untuk memelihara intipati Islam lebih-lebih lagi jika simbol tersebut merupakan tuntutan syar’ie.
TIGA CITA-CITA BESAR
Oleh yang demikian, kita mesti bekerja lebih keras lagi kerana di hadapan kita ada tiga cita-cita besar yang perlu kita wujudkan :
PERTAMA : CITA-CITA DAKWAH
Kita bercita-cita untuk mewujudkan kehidupan yang Islamik yang menjadi rahmat bagi sekalian alam, iaitu kehidupan yang merujuk kepada nilai-nilai Al-Qur’an dan As Sunnah.
Kita juga bercita-cita supaya terwujudnya masyarakat yang Islamik, iaitu masyarakat yang bergabung secara ideologi kepada Islam; melakukan semua tuntutan ‘fardhu ‘ain’ di dalam kehidupan seharian mereka serta menjaga diri dari dosa-dosa besar.
Untuk mencapai tujuan tersebut, kita mestilah terus bekerja :
1. Menyampaikan dakwah dan tarbiyah Islamiyah kepada masyarakat secara benar, jelas, utuh dan menyeluruh.
2. Mendorong kebajikan dalam pelbagai bidang kehidupan.
3. Membenteras kedangkalan ilmu, kemiskinan dan kerosakan moral.
4. Menghimpun jiwa dan menyatukan hati manusia di bawah naungan prinsip-prinsip kebenaran.
5. Mendekatkan persepsi antara mazhab-mazhab di kalangan umat Islam.
6. Memberi jalan penyelesaian alternatif terhadap berbagai persoalan umat dan bangsa serta pembangunannya.
7. Membangun peradaban manusia atas dasar keseimbangan iman dan material.
8. Memantapkan prinsip-prinsip Islam.
9. Mengukuhkan erti beragama yang sebenarnya pada setiap peribadi dan keluarga samada dalam ucapan atau perbuatan.
10. Membina dengan cara yang benar sesuai dengan Al-Qur’an dan As Sunah dalam hal aqidah, ibadah, akhlak, muamalah, ruhiyah, aqliyah dan jasadiyah.
11. Meneguhkan makna ukhuwah yang sebenarnya dengan saling melindungi secara utuh, saling menolong secara penuh hingga tercipta suatu kesatuan sosial.
12. Melahirkan generasi baru yang memahami dan melaksanakan Islam secara baik serta berperanan dalam berbagai sektor kehidupan.
KEDUA : CITA-CITA POLITIK
Cita-cita dakwah yang luhur tersebut memerlukan penjaga, iaitu kekuatan politik.
Dengan kekuatan inilah, kita dapat merealisasikan ajaran Islam secara sepenuhnya dengan :
1. Mewujudkan rasa aman.
2. Melaksanakan undang-undang.
3. Meratakan pendidikan.
4. Menyiapkan kekuatan.
5. Memelihara kesihatan.
6. Menjaga kepentingan dan kemudahan awam.
7. Menjaga sumber alam semulajadi.
8. Mengelola kekayaan negara.
9. Mengukuhkan akhlak masyarakat.
10. Menyebarkan dakwah.
Untuk mencapainya, gerakan dakwah mesti melakukan usaha ke arah penglibatan politik dalam pemerintahan dan dimulai dengan usaha mengukuhkan kewujudan institusi politik. Dari masa ke semasa, kewujudan institusi politik ini mesti terus dikembangkan.
KETIGA : CITA-CITA PERADABAN
Ini adalah perlaksanaan dari apa yang disebut oleh Imam Hasan Al-Banna sebagai ‘Ustaziyatul alam’ iaitu penegakan kepimpinan dunia dengan penyebaran dakwah Islam ke seantero dunia.
“Sehingga tidak ada lagi fitnah dan agama itu hanya untuk Allah”. (QS Al-Baqarah : 193)
Maksud ayat di atas adalah :
1. Kemusyrikan akan menjadi sangat hina di muka bumi dan nilai ibadah dan perhambaan kepada Allah menjadi semakin tinggi dan mulia.
2. Tidak ada lagi kekhuatiran pada kita dalam menegakkan agama.
3. Tidak ada lagi keraguan dan sikap sembunyi-sembunyi dalam urusan agama.
Ini adalah kerana dunia telah diwarnai dengan warna Islam setelah sebelumnya dikotori oleh falsafah materialisma yang didukung oleh dua kekuatan utama untuk mempertahankan cengkamannya iaitu senjata dan wang.
Marilah kita mengingati kembali janji Rasulullah saw kepada umat Islam.
Tersebarnya Islam di seluruh Dunia
“Islam akan mencapai wilayah yang dicapai siang dan malam. Allah tidak akan membiarkan rumah yang mewah mahupun yang sederhana kecuali akan memasukkan agama ini ke dalamnya…” (HR Ahmad)
Eropah akan dikuasai oleh Umat Islam
Abdullah bin Amru bin Ash mencatat hadits dari Rasulullah saw apabila ditanya :
“Kota mana yang akan lebih dahulu dibebaskan oleh Islam, Konstantinopel atau Romawi?”
Baginda menjawab :
“Kota Herakliuslah (Konstantinopel / Istanbul) yang akan dibebaskan terlebih dahulu!”
Nubuwwah tersebut terbukti pada Abad ke 9 Hijriyah iaitu bertepatan dengan abad ke 15 Masehi tepatnya pada hari Selasa, 20 Jamadil Ula 857 H / 29 Mei 1453 M.
Pembebasan Konstantinopel pada ketika itu dipimpin oleh seorang Komander muda pemerintahan Utsmaniyah berusia 23 tahun yang bernama Muhammad bin Murad atau dikenali juga dengan sebutan Muhammad Al-Fatih.
Ketika ini, kita masih menunggu nubuwwah yang kedua iaitu dibebaskannya Rom (Itali). Insya Allah di negara ini pun, sinar ajaran Islam akan memancar dengan sempurna.
Syaikh Yusuf Qardhawi mengandaikan bahwa pembebasan Rom ini akan berlaku dengan perantaraan pena dan lidah (diplomasi), wallahu a’lam.
Meluasnya kekuasaan Islam di Timur dan Barat
“Sesungguhnya Allah swt telah memperlihatkan kepadaku bumi bahagian timur dan bahagian baratnya, dan kekuasaan umatku akan mencakupi bumi yang aku lihat itu.” (HR Muslim)
Kemakmuran Umat Islam
“Hari kiamat tidak akan terjadi hingga harta umat Islam sedemikian melimpah dan berlebihan, hingga orang yang mempunyai harta kesulitan mencari orang yang mahu menerima sedekahnya, dan jika ingin memberikan hartanya kepada seseorang, orang yang akan diberikan harta tersebut berkata, ‘Aku tidak memerlukannya’” (Hadits Muttafaq ‘alaih)
Kembalinya ‘Khilafah ‘ala Minhajin Nubuwwah’
“Masa kenabian akan berlangsung pada kamu dalam beberapa tahun, kemudian Allah mengangkatnya, setelah itu datang masa kekhalifahan atas manhaj kenabian, selama beberapa masa hingga Allah mengangkatnya, kemudian datang masa kerajaan yang buruk / zalim (mulkan ‘aadhan) selama beberapa masa, seterusnya datang masa kerajaan diktator (mulkan jabariyyan) dalam beberapa masa hingga waktu yang ditentukan Allah, setelah itu akan (terulang lagi) khilafah ‘ala minhajin nubuwwah (kekhalifahan atas manhaj kenabian). “ (HR Ahmad, Al-Bazzar dan Thabrani).
Kekuatan arus gelombang Islam
Umat Islam memiliki kekuatan iman dan kekuatan manhaj.
Perkara ini diperkuatkan oleh seorang penulis barat, Paul Schmidt dalam bukunya ‘Islam Kekuatan Masa Depan’ yang menyebutkan bahwa ada tiga tiang kekuatan umat Islam :
Pertama : Kekuatan Islam sebagai agama.
Kedua : Tersedianya sumber-sumber kekayaan alam semulajadi.
Ketiga : Suburnya keturunan pada umat Islam.
Menurutnya, jika tiga tiang ini kukuh dan umat Islam bersatu di atasnya, maka Islam akan menjadi ancaman kepada Eropah dan bangkitnya Islam menjadi pemimpin dunia.
Dari huraian di atas dapatlah diambil kesimpulan bahwa tidak ada alasan lagi bagi kita untuk bersikap pesimis dalam menatap masa depan Islam yang cemerlang dan benarlah Sayyid Qutb apabila beliau berkata :
‘Al-Mustaqbal li haazad diin’ iaitu Masa depan adalah milik Islam.
“Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai. Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur’an) dan agama yang benar untuk dimenangkanNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai.” (QS At-Taubah : 32 – 33)
Dan katakanlah : “Bekerjalah kamu, maka Allah dan rasulNya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”(QS At-Taubah : 105)
Akhir sekali marilah kita sedari bahwa kerja kita belum selesai dan marilah kita bekerjasama dan tolong menolong dalam usaha melaksanakan kebaikan dan taqwa di dalam diri dan masyarakat serta menjauhi diri dari bekerjasama dalam perbuatan dosa dan permusuhan.
Ya Allah, tetapkanlah kami di atas jalan dakwah ini untuk kami berusaha menjalinkan kembali ikatan Islam yang telah terurai satu demi satu dengan penuh istiqamah dan kesabaran sehingga tercapai cita-cita dakwah, kekuasaan dan peradaban Islam yang akan memenuhi bumi ini dengan ketundukan dan kepasrahan sepenuhnya kepada kekuatan dan keagunganMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
No comments:
Post a Comment