BERSAMA MEMBANGUN KEKUATAN GERAKAN DAKWAH
بسم الله الرحمن الر حيم
إن الحمد لله نحمده تعالى ونستعينه ونستغفره ، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا ، من يهديه الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له ، واشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، واشهد أن محمد عبده ورسوله
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون} سورة: آل عمران– الآية: 102
OLEH:AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURIDalam gerakan dakwah, manusia yang mendukung gerakan dakwah itulah yang dikatakan sebagai aset dakwah yang memberikan kekuatan kepada gerakan dakwah.
Gerakan dakwah sebenarnya tidak memiliki kebergantungan kepada kekuatan dari segi kekayaan harta benda, pejabat, bidang-bidang perniagaan dan sebagainya, tetapi kekuatannya adalah bergantung sepenuhnya kepada manusia yang menjadi anggotanya.
Jadi ia berbeza sama sekali dengan syarikat perniagaan atau organisasi-organisasi dalam pandangan sekular.
Dalam rangka menegakkan tugas khilafah, jamaah mesti sentiasa berkembang dan tidak boleh statik.Perkembangan ini berlangsung seiring dengan pertumbuhan jumlah aset yang dimiliki oleh gerakan dakwah.
Untuk itu, setiap anggota gerakan hendaklah bersikap ofensif dalam melakukan usaha perekrutan dan pembinaan melalui halaqah-halaqah dan usrah-usrah yang terus berkembang. Pola halaqah ini adalah cara pertumbuhan yang paling khusus dalam gerakan dakwah.
Pertumbuhan aset gerakan dakwah memiliki tiga sudut yang tidak boleh terpisah antara satu dengan yang lain iaitu :
PERTAMA : PERTUMBUHAN KUANTITI
Seluruh pertumbuhan gerakan dakwah mestilah melalui tarbiyah. Lantaran itu jamaah mestilah meningkatkan kualiti pembinaan samada tarbiyah sebelum tanzhim atau selepas tanzhim.
Berbagai usaha hendaklah diarahkan untuk meningkatkan kemampuan setiap aktivis dakwah mentarbiyah sehingga mereka yang terbina dengan gerakan dawah kita memiliki kualiti keahlian yang baik.Semakin ramai ahli masyarakat ditarbiyah maka semakin baik pertumbuhan gerakan dakwah.
Pembinaan sebelum penggabungan dengan gerakan merupakan pintu gerbang penglibatan seseorang dengan jamaah. Semakin ramai jumlah anggota teras maka semakin ketat pulalah pola tarbiyah yang dilakukan oleh kerana pintu masuk jamaah semakin banyak dan terbuka. Kualiti tarbiyah hendaklah sentiasa ditingkatkan dari masa ke semasa.
Untuk menumbuhkan perkara-perkara yang menjadi tunjang kepada gerakan, tarbiyah juga memainkan peranan utama. Dalam melahirkan para pakar misalnya perlu daurah-daurah atau tarbiyah secara khusus.
Kita tidak mungkin melahirkan seorang pakar ekonomi Islam misalnya tanpa melalui pembinaan terlebih dahulu. Demikian pula tidak mungkin lahir seorang ahli politik Islam tanpa tarbiyah.
Sungguhpun begitu besarnya peranan tarbiyah ini, tetapi jamaah tidak boleh terjebak menjadi jamaah tarbawiyah atau jamaah yang orientasinya semata-mata tarbiyah. Gerakan dakwah tidak boleh semata-mata menumpukan pada tarbiyah secara maknanya yang sempit. Ia adalah gerakan yang syamil (lengkap) meliputi seluruh aspek hidup manusia dan tidak terperosok pada aspek yang juz’ie (sebahagian).
Unsur yang paling pokok dalam pertumbuhan gerakan dakwah ini adalah keperluan memperhatikan :
1. PERTAMBAHAN PERTUMBUHAN JUMLAH.
Ini dilakukan dengan melihat keselarasan jumlah pendakwah dengan mad’u yang ada dalam keseluruhan pembinaan.
Seringkali kita terjebak dengan banyaknya jumlah peminat dakwah tetapi tidak dapat menanganinya secara berkualiti sehingga pada akhirnya tidak menghasilkan pertambahan aset gerakan dakwah.
Bagitu juga jamaah mengalami masa-masa sulit yang membuatkan orang sukar untuk mengikuti kegiatan tarbiyah ini. Dalam pada itu aktiviti tarbiyah hendaklah sesuai dengan situasi, keadaan, sikap-sikap ataupun peristiwa-peristiwa dalam masyarakat yang meliputinya.
Agar pertumbuhan jumlah ini selaras dengan keperluan gerakan dakwah, hendaklah wujud pemeliharaan ke atas piramid dakwah.
Peringkat-peringkat fasa pembinaan mestilah jelas dan tidak meragukan. Mulai dari peringkat aktivis dakwah, para pendukung dakwah, para pencinta dakwah hingga ke peringkat dakwah umum. Peringkat-peringkat ini merupakan penapis yang menjaga kerahsiaan aktiviti dakwah. Lantaran itu tidak boleh ada penapis yang hilang disebabkan oleh kerana lemahnya pembinaan.
2. PENYEBARAN POTENSI GERAKAN DAKWAH.
Seelok-eloknya potensi dakwah yang kita miliki menyebar sesuai dengan tuntutan medan dakwah yang kita hadapi. Pembahagian wilayah dakwah perlu memperhatikan pembahagian wilayah yang ada dalam masyarakat.
Penyebaran potensi boleh dilakukan secara individu ataupun dengan penyebaran gerakan dakwah berbentuk kebangkitan usaha-usaha tarbiyah. Dalam proses penyebarannya, sudah tentu perlu disesuaikan dengan keperluan gerakan dakwah serta daya dukungnya.
3. KOMPOSISI PENGUASAAN-PENGUASAAN YANG ADA
Dalam permulaan yang sederhana, penguasaan dalam gerakan ini boleh dibahagikan kepada tiga :
a. Dakwah.
b. Ilmu pengetahuan.
c. Seni berdakwah.
Dalam satu unit gerakan dakwah, komposisi yang ideal adalah 2-1-1 atau 50 peratus dakwah sedangkan ilmu pengetahuan dan seni berdakwah masing-masing 25 peratus.
Namun, perlu sentiasa diingat bahwa dalam penambahan jumlah, ianya selalu dikaitkan dengan rukun-rukun ‘bai’ah’, bukan keperluan penguasaan itu sendiri. Strategi juga perlu memperhatikan pemanfaatan potensi yang lahir di medan dakwah yang kita hadapi dan potensi hasil pembinaan dari luar.
KEDUA : PERTUMBUHAN KUALITI GERAKAN DAKWAH
Pertumbuhan kualiti gerakan dakwah sudah semestinya mengikuti pertumbuhan kuantiti. Jangan sampai jumlah aktivis lebih ramai tetapi aktiviti mereka menurun kerana kualiti yang ada semakin rendah.
Pertumbuhan kualiti gerakan dakwah perlu menumpu kepada peningkatan yang dilakukan samada dalam pembinaan sebelum tanzhim ataupun selepas tanzhim.
Untuk meningkatkan kualiti ini, setiap anggota gerakan dakwah hendaklah meningkatkan interaksi dengan rukun-rukun ‘bai’ah’, kerana pertumbuhan kualiti gerakan sangat dipengaruhi oleh sejauh mana interaksi dengan rukun-rukun ‘bai’ah’ ini berlangsung.
Ada tiga unsur yang meningkatkan interaksi para aset gerakan dengan rukun-rukun ‘bai’ah’ :
1. Syarat-syarat menjadi pekerja dakwah.
2. Cara-cara pembentukan pekerja dakwah.
3. Cara-cara penilaian terhadap pekerja dakwah.
Semakin luas wilayah dakwah hendaklah diiringi dengan melaksanakan syarat-syarat menjadi pekerja dakwah dengan seketat mungkin melalui program-program tarbiyah yang ada.
Ketika jumlah kita 10 orang misalnya, ia memerlukan interaksi syarat-syarat pemeringkatan sebanyak 1%. Apabila jumlah ini meningkat menjadi 100 orang maka interaksi mestilah meningkat pula sehingga sampai 10%.
Apabila pertumbuhan jumlah ini tidak diiringi dengan pertambahan interaksi, maka tidak mungkin akan mampu mengatasi masalah yang akan timbul dalam pelayanan dakwah.
Kemampuan menjangka masalah gerakan dakwah ditentukan juga oleh pertumbuhan interaksi yang menentukan tingkatan kualiti gerakan itu.
Jamaah telah menjadikan tarbiyah sebagai ikatan yang tidak boleh lepas dari setiap aktivis dakwah. Ia berlaku sepanjang hayat. Tidak ada istilah pencen dari tarbiyah atau tidak memerlukan tarbiyah.Tidak ada seorangpun dari anggota gerakan dakwah yang boleh lepas dari tarbiyah.
BEBERAPA CONTOH INTERAKSI GERAKAN DAKWAH
Setiap aktivis dakwah hendaklah sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti gerakan dan menerima perkembangannya dengan lapang dada.
Jangan bersikap sebagai penonton (komentator) yang ke sana ke mari hanya memberi penilaian sahaja. Sikap lapang dada merupakan faktor paling utama untuk sanggup melaksanakan tugas.
Semakin kuat interaksi seseorang dengan gerakan dakwah, semakin lapang dadanya dan semakin mampu melaksanakan tugas dakwah. Interaksi yang lemah membuatkan dada sempit dalam menerima perintah dan tugas.
Contoh suatu masyarakat yang lemah interaksinya dengan gerakan adalah Bani Israil.
Berbagai peristiwa menunjukkan kelemahan mereka.
PERISTIWA 1
Tatkala mereka minta seorang pemimpin kemudian ditunjukkan oleh Allah mereka menolak dan berkata :
“Bagaimana dia ( Thalut ) menjadi seorang raja padahal kami lebih berhak daripadanya lagi pula dia tidak punya banyak harta, … “ (QS Al Baqarah :247 )
Ini kelemahan dalam menjangka perkembangan struktur yang telah dipersiapkan oleh Nabi mereka.
PERISTIWA 2
Ketika Allah memerintahkan mereka untuk menyembelih seekor lembu betina, mereka menganggap perintah itu sebagai ejekan. Mereka berkata kepada Nabi Musa :
“Apakah engkau hendak menjadikan kami olok-olokan ? … “ (QS Al Baqarah :67)
Sikap ini menunjukkan kelemahan menerima perintah Allah, iaitu tiadanya kesediaan untuk mengikuti petunjuk dan bimbingan Allah.
PERISTIWA 3
Dalam menanggapi nikmat kurniaan Allah mereka tidak puas, malahan minta diberi lebih dari bahagian yang ditentukan, kata mereka :
“… Wahai Musa kami tidak mampu dapat bersabar dengan satu jenis makanan sahaja. Maka mintalah kepada Rabbmu agar Ia mengeluarkan bagi kami dari hasil buminya iaitu sayur mayurnya, timunnya, bawang putihnya, kacang adasnya dan bawang merahnya … “ (QS Al Baqarah : 61)
Oleh kerana watak Bani Israil yang sedemikian, Nabi Musa perlu bersikap lapang dada. Sejak awal tatkala Allah memerintahkan Nabi Musa as menghadapi Fir’aun, Nabi Musa pun memohon agar Allah melapangkan dadanya melalui firman Allah :
“Pergilah kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Berkata Musa, Ya Rabbku lapangkanlah untukku dadaku dan mudahkanlah untukku urusanku dan lepaskanlah kekeluan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku (iaitu) Harun saudaraku, teguhkanlah dengan dia kekuatanku dan jadikanlah dia sekutu dalam urusanku … “ (QS Thaha : 24-32 )
Nabi Musa menerima tugas yang sangat berat. Ia mesti berbicara tentang kebenaran di hadapan tokoh kejahatan dan raja yang zalim di mana bila-bila masa sahaja ia mampu untuk membunuhnya.
Nabi Musa menyedari bahwa hanya dengan pertolongan Allah ia dapat melaksanakan perintah ini dengan berjaya, betapapun sukarnya perintah tersebut.
Maka pertolongan atau dukungan Allah yang paling dimohonnya ada tiga :
1. Allah melapangkan dada dan memudahkan urusannya.
Lapang dada memang satu mata rantai yang tidak boleh putus dari kemudahan urusan sebaliknya sempit dada merupakan saudara kembar dari berbagai kesulitan.
Seorang yang Allah berikan petunjuk, maka Allah bukakan hatinya untuk Islam, sedangkan orang yang akan sesat pasti sukar menerima arahan Islam. Firman-Nya :
“Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, niscaya Dia melapangkan dadanya untuk Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, niscaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit. Seolah-olah ia sedang mendaki ke langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman.”QS (Al An’am : 125)
Rasulullah saw pun sepanjang penurunan wahyu terus menerima surah Dhuha dan surah Al Insyirah yang memperlihatkan kasih sayang Allah bagi melapangkan hati Rasulullah saw agar dalam aktiviti gerakan dakwah yang sukar akan menerima kemudahan.
2. Allah membuang kekeluan lisan dan membuatkan orang memahami dakwah.
Nabi Musa membuang kekeluan lisan pada dirinya.
Kekeluan lisan dalam maknanya yang lebih luas bukan sahaja bererti lidah yang gagap atau tidak pandai berbicara tetapi juga meliputi lidah yang gemar mengumpat, mencari kesalahan orang, mengejek-ngejek dan berbagai sikap yang tidak layak dalam melakukan dakwah di mana ini juga termasuk dalam kategori kekeluan lisan.
Setiap aktivis dakwah hendaklah menjauhkan diri dari kekeluan lisan ini. Mereka antara satu sama lain hendaklah bersikap saling bersahabat, saling merangkul, saling bertoleransi, saling membela dan sebagainya.
Ini untuk menimbulkan kesatuan kata yang dihadapkan pada objek dakwah. Dengan keterbukaan hati dan benarnya pengucapan lidah maka orang akan mudah memahami seruan kita serta menyambutnya.
Ia berpokok pangkal pada saling memahami di antara para pendakwah dan seterusnya membawa kefahaman kepada objek dakwah.
3. Allah memunculkan para penolong dalam tugas dakwah ini.
Iaitu para pendukung setia (wazir) yang merupakan orang-orang yang memiliki aqidah, fikrah dan minhaj dakwah yang sama. Mereka adalah orang-orang pilihan Allah untuk mendukung kebenaran sepertimana pertolongan Allah kepada Nabi Musa dengan adanya Nabi Harun sebagai ‘wazir’.
KETIGA : PERTUMBUHAN KEMAMPUAN
Kemampuan dalam gerakan dakwah sangat bergantung kepada sejauhmana peningkatan dan kualiti dalam gerakan dakwah tersebut.
Jamaah yang kuat hanya akan terwujud apabila memiliki suatu jumlah yang memadai dan dengan mutu yang tinggi.
Jumlah memadai di sini adalah jumlah yang berkesan untuk melakukan pengendalian masyarakat sehingga kemampuan menguasai massa ini menjadi ukuran sejauhmana dakwah telah berkembang.
Ingatlah bahwa dalam gerakan dakwah, kita sentiasa melihat tiga faktor yang menjadi syarat pengendalian ini :
a. Jumlah yang cukup untuk pengendalian masyarakat.
b. Semangat keimanan yang kuat.
c. Kekuatan yang tersusun atau terurus dengan rapi.
Banyak organisasi-organisasi Islam yang mempunyai jumlah anggota lebih dari cukup tetapi mereka tidak memiliki semangat yang kuat serta tidak tersusun rapi.
Akibatnya organisasi tersebut menjadi permainan musuh-musuh Islam. Jumlah yang besar tanpa semangat dan pengurusan yang rapi sama halnya dengan kerangka tubuh yang besar namun tidak berisi.
Semangat akan muncul apabila doktrin-doktrin gerakan dakwah sudah melekat di hati kaum muslimin sedangkan pengurusan yang mantap akan dapat diwujudkan apabila umat yang bersemangat kuat itu mahu menyatukan diri mereka ke dalam ‘hizbullah’.
Dalam menggambarkan jumlah yang berkualiti dan berkemampuan, Allah memperingatkan agar kita jangan tertipu oleh ramainya kaum muslimin dalam sesebuah negeri. Sesungguhnya hanya yang mengikuti sistem Allah sahaja yang memiliki kekuatan yang tersusun rapi.
Mereka memiliki pemimpin yang ikhlas, konsep yang jelas, pengikut yang taat serta aktiviti yang berterusan.
Firman Allah swt :
“ Katakanlah : Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kamu ke (jalan) Allah dengan hujjah yang nyata. Maha Suci Allah dan aku bukan termasuk orang-orang yang musyrik “ ( 12:108 )
Dalam gerakan dakwah, setiap aktivis dakwah hendaklah memiliki keseimbangan peribadi sebagai “Syakhsiyah Jama’iyah” (Peribadi jamaah) dan “Syakhsiyah Ijtima’iyah” (Peribadi masyarakat).
Sebagai peribadi jamaah, aktivis dakwah adalah merupakan tenaga jamaah atau salah seorang yang menjadi wasilah dari gerakan dakwah sedangkan secara fungsinya, ia memiliki keterkaitan dengan masyarakat dakwahnya.
Agar keseimbangan ini terwujud maka setiap aktivis dakwah hendaklah memiliki disiplin yang kuat dalam bersikap. Janganlah ia mengeluarkan bahasa kemasyarakatan kepada individu jamaah yang boleh menimbulkan kelonggaran dalam ukhuwah atau bahasa jamaah kepada masyarakat yang menyebabkan terbukanya celah keselamatan.
Di setiap tempat ada pembicaraan yang khas, sebagaimana dikatakan orang :
“Berbicaralah kepada ahli dunia dengan bahasa ahli dunia dan berbicaralah kepada ‘Ahlillah’ dengan bahasa ‘Ahlillah’.”
Setiap aktivis dakwah mempunyai tugas dan fungsi masing-masing yang merupakan tanggungjawabnya di hadapan Allah. Dalam membentuk peribadi kemasyarakatan, pada dasarnya kita tidak membangun tokoh yang nantinya menjadi orang yang mempunyai kedudukan istimewa.
Sesungguhnya dalam berjamaah, kedudukan ikhwah dan akhawat adalah semuanya sama kecuali dalam tugas dan fungsi pengurusannya
Ketaatan kepada pimpinan di semua sektor menjadi kejayaan kepada program ini. Ketua rumahtangga misalnya bukan kedudukan yang mudah justeru merupakan kunci dan kekuatan jamaah.
Menurut Syeikh Jumaah Amin dalam kitabnya “Tsawabit Wal Mutaghayyirat” (Unsur-unsur tetap dan berubah) bahwa kandungan dakwah Imam Hasan Al-Banna ialah :
a. Menggerakkan semula umat daripada lamunan yang panjang.
b. Mengejutkan kembali minda umat agar mereka faham.
c. Menyentuh hati umat supaya mereka beriman.
d. Menghidupkan keinginan umat agar mereka berazam.
e. Menggerakkan anggota umat agar mereka bekerja.
Dakwah ialah :
1. ‘Amal fikri’ (usaha minda) yang menerangi akal.
2. ‘Amal da’wi’ (usaha dakwah) yang mendorong perasaan.
3. ‘Amal tarbawi’ (usaha pentarbiyahan) yang melahirkan peribadi Islam yang seimbang.
4. ‘Amal ijtima'ie’ (usaha kemasyarakatan) yang menyumbang menyelesaikan permasalahan masyarakat dan menyebarkan kebaikan.
5. ‘Amal iktishadi’ (usaha ekonomi) untuk membebaskan ekonomi negara daripada cengkaman barat dan riba.
6. ‘Amal siyasi’ (usaha politik) untuk menegakkan pemerintahan negara yang melaksanakan hukum Islam.
7. ‘Amal jihadi' (usaha jihad) untuk membebaskan tanah milik umat Islam di serata dunia daripada penjajahan asing melalui manhaj Nabi saw.
Perkara yang kita perkatakan ini perlu kepada penegasan bahawa Islam ialah :
a. Risalah tarbiyah sebelum menjadi risalah tanzim dan tasyri'.
b. Risalah nilai dan neraca sebelum menjadi risalah jihad dan perang.
Oleh yang demikian, ia perlu kepada beberapa kefahaman :
PERTAMA :
Objektif daripada perlaksanaan manhaj Nabi saw adalah untuk mewujudkan realiti amali yang Islamik, di mana hukum-hukum syariat dilaksanakan secara ruh dan nas.
Tidak sepatutnya kita menuntut Islam menyelesaikan permasalahan yang kita hadapi sebelum kita sendiri mewujudkan satu realiti persekitaran yang dilaksanakan syariat dan hukum di dalamnya.
Perkara ini tidak boleh diwujudkan dengan paksaan tetapi dengan tarbiyah, keyakinan dan iman.
KEDUA :
Amal untuk mencapai objektif objektif tersebut hendaklah dilakukan melalui perancangan berperingkat-peringkat.
Amal tidak seharusnya berganjak ke satu peringkat kecuali setelah objektif peringkat sebelumnya tercapai. Begitu juga amal dalam peringkat-peringkat ini hendaklah bersifat anjal kerana tabiatnya yang saling kait mengait antara satu sama lain.
Ini adalah kerana pencapaian objektif mana-mana peringkat akan membantu usaha mencapai objektif di peringkat seterusnya, sepertimana pencapaian semua objektif di semua peringkat akan menyumbang ke arah pencapaian objektif terbesar.
Oleh itu kewujudan individu muslim akan membantu ke arah pembentukan keluarga muslimah. Kewujudan keluarga muslimah pula akan membantu kepada pembentukan masyarakat muslim dan begitulah seterusnya.
KETIGA :
Amal untuk mencapai objektif-objektif tersebut hendaklah dilakukan secara kolektif, yang mempunyai pimpinan yang berakar umbi dalam masyarakat dan mengepalai kelompok mukmin.
la bekerja untuk membentuk pendapat umum yang Islamik, yang akan mengembeling pelbagai tenaga bagi mencapai objektif Islam.
Amal ‘fardi’ (individu) tidak mampu mencapai objektif-objektif tersebut, di samping Islam sendiri agama jamaah yang mentarbiyah individunya dengan pengertian ini.
Penguasaan masyarakat sangat bergantung kepada pertumbuhan lima (5) jenis aktiviti dakwah di dalam masyarakat seperti berikut :
1. Para khatib yang bersemangat.
Iaitu mereka yang mampu menyampaikan pesanan-pesanan Islam dengan jelas dan terang, penuh bersemangat dan dinamik.
Para khatib bersemangat muda yang menyampaikan hikmah (pengetahuan) orang-orang tua yang penuh pengalaman. (hikmatus syuyukh fi hamasatus syabab) bukan semangat orang tua dengan pengetahuan pemuda yang cetek.
Para khatib ini hendaklah mampu melakukan pengerahan massa dan menumbuhkan semangat berdasarkan iman dan pengetahuan bukan emosi dan kebencian.
2. Orang-orang faqih di tengah masyarakat
Iaitu para ulama’ yang takut pada Allah dan hidup di tengah-tengah masyarakat :
a. Memberikan bimbingan dan fatwa-fatwa yang lurus dan benar tentang masalah yang dihadapi oleh masyarakat.
b. Menjadi pendidik dan tempat bertanya yang tidak menimbulkan keraguan dan perpecahan.
c. Sentiasa menghidupkan toleransi antara mazhab (fiqh) yang menjadi titik pertemuan yang menyatukan umat. Oleh itu, ia sentiasa dicintai, didukung dan dibela oleh masyarakatnya.
Khatib masyarakat menjadi pendorong masyarakat ke jalan Allah sedangkan golongan faqih masyarakat membimbing masyarakat di jalan Allah. Dia bukan faqih lantikan yang memberi fatwa berdasarkan arahan tetapi benar-benar menyuarakan pimpinan Allah dan RasulNya.
3. Aktiviti kemasyarakatan atau sosial
Tujuan utama dari aktiviti ini ialah untuk melaksanakan fungsi masjid-masjid sesuai dengan bimbingan Rasulullah saw.
Untuk tujuan itu, perlu dibuat kerjasama sosial dengan berbagai lapisan masyarakat untuk mendekatkan umat pada masjid. Sasaran program ini adalah bagi memperkuatkan para pendakwah sebagai pelopor dalam berbagai bidang.
Para pendakwah hendaklah disokong sepenuhnya agar mereka mampu menyantuni masyarakat ramai sehingga mereka memiliki prestasi yang tinggi yang menjadikan umat mudah mengikuti panduan dan arahan para pendakwah tersebut. Biasanya masyarakat akan mudah menerima apabila dakwah dimulai dengan santunan yang memperhatikan akan keperluan mereka.
4. Projek ekonomi masyarakat kecil
Gerakan dakwah turut meningkatkan taraf ekonomi umat Islam yang pada umumnya masih sangat lemah. Usaha-usaha ekonomi mestilah berbentuk usaha yang ringan, mudah dijangkau dan menjadi milik masyarakat.
Berbagai kelab, perhimpunan atau organisasi ekonomi kecil perlu ditumbuhkan dan dibimbing oleh para pendakwah yang sekaligus menjadi pembimbing rohani mereka. Sasaran program ini adalah agar masyarakat pendukung dakwah dapat berdikari di satu sudut dan di sudut lain dapat pula mengendalikan kelajuan sistem ekonomi secara keseluruhan.
5. Penerangan yang memasyarakatkan
Potensi penerangan hendaklah tumbuh dari orang-orang yang memahami aqidah, fikrah dan manhaj serta berdisiplin dengan kebijaksanaan jamaah agar pembentukan pandangan umum sesuai dengan perancangan dakwah.
Ini adalah kerana bidang ini merupakan salah satu pusat tumpuan suatu gerakan dakwah. Yang penting, ia mestilah mempunyai kemampuan untuk menyebar dan meluas dengan cepat dalam berbagai bentuknya yang ringan seperti buletin, brosur, maklumat, majalah, akhbar dan berbagai bentuk lainnya yang murah dan dapat dijangkau oleh masyarakat.
Selain itu, perlu pula menyokong bahan penerangan umat Islam sedia ada agar memiliki ruh dan fikrah Islam.
Para pakar dalam gerakan dakwah seharusnya menyumbangkan tulisan-tulisan yang bermutu pada bahan-bahan penerangan yang dimiliki oleh umat Islam. Selain itu, usaha pendidikan Islam perlu dimunculkan melalui siaran-siaran radio, televisyen dan sebagainya melalui jalan yang boleh ditempuh dengan tidak meninggalkan unsur-unsur syar’ie dalam penyajiannya.
Ya Allah, tetapkanlah kaki kami di atas jalan dakwahMu yang lurus yang memiliki fikrah yang asli yang sentiasa berpaut pada tiang yang tegap, dinding yang kukuh dan tapak asas yang mantap dan utuh sehingga ianya kekal terpelihara dari kemusnahan dan kehancuran. Jadikanlah kami orang-orang yang tetap berpegang teguh dengan fikrah yang jelas ini serta menyerahkan jiwa raga kami bagi mempertahankannya.
Ameen Ya Rabbal Alameen
No comments:
Post a Comment