Friday, February 13, 2015

SELAMAT BEREHAT MURABBIKU


بسم الله الرحمن الر حيم

إن الحمد لله نحمده تعالى ونستعينه ونستغفره ، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا ، من يهديه الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له ، واشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، واشهد أن محمد عبده ورسوله {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون} سورة: آل عمران – الآية: 102

OLEH:AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURI

SELAMAT BEREHAT MURABBIKU

Published February 13, 2015 by wana93


Bismillah.
Saat ini, detik ini, saya pasti, bukan saya seorang saja yang merasa kehilangannya. Bukan saya seorang saja yang merasa pilu dan hiba atas pemergiannya. Bukan saya seorang saja yang membelek kenangan bersamanya. Tapi, selautan manusia telah menjadi saksi akan kemuliaan dirinya. Ribuan, mungkin hampir jutaan manusia telah mengiringi jenazahnya.

IMG_23339970823327


Subhanallah
Betapa ramainya jiwa manusia yang mencintainya. Betapa banyaknya mata yang menangisi pemergiannya. Betapa banyaknya tembakan doa daripada ummah untuknya.

SubhanallahTerfikirkah kita, “Bagaimana agaknya keadaan ummah semasa pemergian Nabi Muhammad s.a.w yang tercinta?”


IMG_38422522646111


“Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasai mati…” (Surah Al-Ankabuut : 57)
Jika sebelum ini, kurang malah jarang sekali media massa yang popular mahu khabarkan berita tentangnya, mahu kongsikan perkembangannya, mahu berinya ruang untuk menerang dan berbicara, akan tetapi, sejak pemergiannya, media massa mula sibuk menyediakan ruang untuk merakam pemergiannya, namanya pula dinaikkan media massa semula, kemuliaannya mula disebarluaskan dan lain-lain lagi.

Alam menjadi saksi selayaknya untuk 'dia', hamba pilihan Allah yang mulia. :')

Alam menjadi saksi selayaknya untuk ‘dia’, hamba pilihan Allah yang mulia. :’)
“Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat.” (Surah al-mukminun : 15-16)

12 Februari 2015

Tarikh itu pastinya menjadi tarikh keramat buat kita semua, lebih-lebih lagi buat pencinta ulamak, buat penggerak-penggerak jemaah Islam kerana tarikh itu merupakan tarikh pemergian seorang ulamak Nusantara yang amat disegani dan dihormati, Tuan Guru Nik Aziz Bin Nik Mat. Tarikh yang sama juga merupakan tarikh pemergian Imam Hasan Al-Banna – pengasas Ikhwanul Muslimin.
Mendapat perkhabaran pemergian TGNA, hati dan fikiran terasa lemah semacam. Saya hanya setia menanti perkembangan di atas talian online saja (melalui FB dan Whatsap, tv takde astro Awani, nak tengok live tv kelantan, internet tak laju), tak berkesempatan untuk nak ke bumi Kelantan sana. Beberapa muslimin PEDAMAI berkesempatan untuk ke sana. Mereka begitu bersemangat! Saya sangat kagum dengan semangat mereka! Semangat pemuda!





Kematian Yang Menghidupkan

Sungguh, ‘kematian’ ini adalah kematian yang menghidupkan! Suasananya seakan sama saat pemergian Ahmad Ammar di Turki sana. Bezanya, arwah Ahmad Ammar adalah seorang yang tidak dikenali semasa hayatnya, akan tetapi tersingkap peribadinya yang mulia dan kebaikannya saat selepas pemergiannya. Jenazahnya dikebumikan di negara Turki sana. Ramai manusia mengiringi jenazahnya. Arwah TGNA pula adalah seorang yang sangat dikenali dan dikagumi ramai semasa hayatnya kerana beliau merupakan ulamak dan selepas pemergiannya, banyak jiwa dan hati yang menangis! Lautan manusia hadir membanjiri Kg Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Subhanallah

Subhanallah

Jika diamati betul-betul, sungguh-sungguh, jika dimengerti sedalam-dalamnya, perjuangan ini panjang jalannya! Tidak terhenti dengan ‘kematian’! Para ‘alim ulamak, ustaz dan asatizah, murabbi pasti akan kembali pada-Nya, hanya Rabb yang kekal abadi. Bukan bererti, mereka telah pergi, kita pun dah hilang semangat dan terus berhenti! Tidak! Bahkan ianya menghidupkan hati-hati kita, jiwa-jiwa kita dan semangat muda-mudi kita untuk teruskan perjuangan dakwah dan tarbiah serta gerakan-gerakan Islam.
Apabila golongan-golongan tua ‘direhatkan’, maka, golongan-golongan muda mestilah lebih keras dan tekun untuk ‘bekerja’. Dunia ini tempat untuk kita berpenat, akhirat sana tempat untuk kita berehat. Jalan ini, jalan dakwah, tarbiah dan perjuangan adalah sunnah terbesar Nabi Muhammad s.a.w. Jalan ini bermatlamatkan satu iaitu mahu Islam dijulang dan didaulatkan!
Andai semasa hayat TGNA, kita tidak berapa kenal akan dirinya, tidak pernah bersua dengannya, tidak pernah membaca buku-buku tintanya, tidak pernah mendengar ceramah/kuliahnya, maka, jangan berasa hina dan kecewa! Gagahkan diri! Ubah diri! Kenali dirinya agar bertambah cinta pada golongan ulamak, bacalah buku-buku hasil tintanya, cuba dengar ceramah/kuliahnya yang ada dalam Youtube, CD dan lain-lain lagi. Nescaya, kita akan rasa ‘sesuatu’ terhadapnya. Bukan rasa benci, bukan rasa mahu menghina dan mengutuk para ulamak akan tetapi rasa kasih, sayang dan cinta pada golongan ulamak. Jika ada yang berbeza pandangan dalam isu politik, maka, itu terpulang pada individu itu sendiri. Akan tetapi, jasa beliau dalam gerabak politik, dakwah, tarbiah dan perjuangan Islam, memang tak dapat disangkal! Ramai sudah kader-kader dakwah yang lahir hasil daripada tarbiah dirinya.

Kenal Untuk Cinta

Kenal Untuk Cinta

Akhir kalam, suka untuk saya kongsikan di sini, firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
“Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik. Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka. Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, jauhkan azab Jahanam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal”. Sesungguhnya Jahanam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman. Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina, kecuali orang-orang yang bertobat, beriman dan mengerjakan amal saleh; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya. ” (Surah Al-Furqan : 63-71)
Dalam satu buku tulisan arwah TGNA, “PEMISAH ANTARA IMAN DAN KUFUR” (cetakan pertama : 1996), ayat di atas ada disebut dalam satu topik iaitu ‘Sifat-sifat Hamba Allah Yang Mendapat Kemuliaan’. Buku ini merupakan buku pertama TGNA yang saya baca. Selepas itu, barulah saya seronok nak mencari dan membaca buku-buku tulisan beliau lagi. Sungguh, sifat-sifat yang mulia itu ada pada diri arwah TGNA.

Selamat berehat murabbi ummah

Selamat berehat murabbi ummah
Selamat berehat murabbi ummah, moga kita dapat bersua di akhirat sana, di hadapan Allah! Insya-Allah! Nabi Muhammad s.a.w yang kita rindui dan cintai juga telah lama pergi, namun, tetap menjadi tugas kita untuk  menyambung wasilah dakwah, tarbiah dan perjuangan Baginda s.a.w.
Moga Allah redha.
Pemuda pemudi! Bangkitlah! Tanggungjawab, tugas dan amanah kita lebih banyak daripada masa yang kita ada! 
Ismail bin Abi Uwais telah menceritakan kepada kami, berkata Malik, telah menceritakan kepadaku daripada Hisyam bin Urwah daripada ayahnya daripada Abdillah bin Amru bin al-Asr r.anhuma katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi yang ‘alim. Ketika itu, orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan yang jahil dan apabila mereka ditanya, mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kalau sebelum ni, kita malas belajar! Ubahlah! Rajinkan belajar dan menuntut ilmu terutama ilmu agama! Ambil peluang untuk kenali, dekati, ziarahi, tadah kitab dan belajar dengan para ‘alim ulamak, para ustaz dan asatizah, sebelum mereka ‘dipanggil pulang’. Rajinkan diri untuk hadir ke majlis-majlis ilmu. Kalau sebelum ni, kita asyik beralasan, tak sempat nak buat kerja-kerja Islam, tak sempat nak turun ke lapangan untuk kerja-kerja dakwah dan tarbiah, maka, ubahlah! Susun masa dan gerak kerja kita! Percayalah, makin kita sibuk, makin kita pandai nak urus masa! Jangan pernah biarkan hati dan diri melekat pada duniawi! Tajdid kembali niat kita, moga benar hanya kerana-Nya!
 

Integriti Ulama Penentu Kekuatan Ummah


Salah satu perkara utama yang sering menjadi perhatian masyarakat dalam sesebuah negara Islam ialah sejauh mana dua golongan yang amat berpengaruh iaitu ulama’ dan umara’ berperanan memperkasakan ummah. Menurut hadith yang diriwayatkan daripada Abu Naim bahawa Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:
Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama’ dan umara’’.
Secara ringkasnya dalam konteks umat Islam di rantau ini ulama’ adalah merujuk kepada mereka yang mengetahui dan memahami agama secara mendalam. Tanpa ulama’ semua orang akan menjadi jahil dan akan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata. Kerana itu para ulama’ merupakan anugerah besar buat umat manusia bagi membimbing mereka ke jalan yang benar.
Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:
Bandingan para ulama’ di bumi ini samalah seperti bintang-bintang di langit yang dijadikan pedoman dalam kegelapan di laut dan di darat. Kalau bintang-bintang itu pudar maka mereka yang berpandukannya nyaris sesat ”.
Manakala umara’ pula merujuk kepada pemerintah yang memimpin sesebuah masyarakat. Tanpa pemerintah, masyarakat menjadi kacau bilau. Malah ajaran Islam dan syariah tidak akan dapat dilaksanakan. Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:
Sesungguhnya penguasa atau pemerintah yang adil itu adalah bayangan Allah di bumi yang menjadi tempat berlindung bagi setiap orang yang dizalimi”.
Menjelaskan betapa berat peranan sebagai umara’ ini, Khalifah Umar ibnu al-Khattab pernah memberi nasihat dan peringatan kepada Abu Musa al-Asy’ari, Gabenor Mesir ketika itu bahawa:
Penguasa yang paling berbahagia ialah mereka yang rakyatnya merasa bahagia hidup di bawah pemerintahannya. Sementara penguasa yang paling celaka pula ialah mereka yang rakyatnya merasa celaka hidup dibawah pemerintahannya. Ingat jangan hidup bermewahan kerana para pegawai kamu akan meniru kamu. Bandingkan diri kamu sama seperti binatang ternakan. Apabila binatang itu dibawa ke padang rumput yang menghijau ia akan makan banyak sehingga menjadi gemuk. Kegemukannya itu akan menjadi sebab kepada kebinasaannya kerana ia akan disembelih untuk dimakan”.

Imam al-Ghazali ketika mengulas peranan ulama’ dan umara’ pada zamannya pula menyatakan bahawa:
Adalah menjadi kebiasaan bagi ulama’ untuk melakukan kerja amar makruf dan nahi munkar tanpa mengira sangat tentang kekejaman pemerintah. Mereka percaya bahawa Allah akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid kalau ditakdirkan begitu oleh Allah. Oleh kerana mereka itu ikhlas, bersikap jujur dan menyumbangkan tenaga semata-mata untuk menegakkan ilmu, maka orang ramai mudah menerima nasihatnya. Tetapi sekarang lidah para ulama’ telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan. Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah dan pemerintah rosak kerana ulama’. Sementara ulama’ pula rosak kerana tamak harta dan pangkat”.

Berdasarkan hadith-hadith dan pandangan tokoh-tokoh ulama’ tersebut ternyata terdapat kebimbangan bahawa kelemahan integriti atau kekurangan sifat amanah, kejujuran, keikhlasan dan jatidiri di kalangan ulama’-umara’ itu akan menjejaskan kekuatan ummah. Oleh kerana itu berdasarkan pemerhatian mimbar isu-isu integriti inilah yang menimbulkan ketegangan hubungan di antara ulama’ dengan umara’ dan ulama’-sesama ulama’. Persoalan besar timbul ialah apakah kaedah untuk mengukuhkan dan mempertingkatkan integriti ulama’ dan umara’.
Firman Allah SWT dalam surah an- Nisaa’ ayat 59 maksudnya:
Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Berdasarkan ayat ini jelas Allah mencabar dan memberi peringatan jika kita beriman, maka rujuklah dan berpeganglah dengan al-Quran dan sunnah untuk mencari jalan penyelesaian dalam isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan Islam dan ummah.
Islam adalah agama yang mewujudkan sistem cara hidup menyeluruh kepada manusia dari segi akidah, syariah, akhlak, politik, ekonomi, dan sosial yang berkait rapat satu sama lain. Sistem cara hidup ini mempengaruhi pembangunan duniawi dan ukhrawi manusia. Dengan demikian kerjasama dan hubungan harmoni ulama’ dan umara’ akan membantu memperkasakan ummah dan menentukan negara berada di landasan yang selari dengan Siasah Shar’iyah. Memang disedari bahawa bidang kuasa ulama’ di negara ini adalah terbatas berbanding bidang kuasa umara’ yang luas. Oleh itu, walaupun tinggi integriti ulama’, dan hebat kewara’kan ulama’ tetapi keputusan terakhir merancang dan melaksanakan pembangunan umat dan negara terletak di bawah bidang kuasa umara’.
Selari dengan tanggungjawab ulama’, maka menjadi tanggungjawab bersama mengingatkan bahawa ulama’ tidak boleh berdiam diri dalam memperjuangkan hak-hak kepentingan Islam dan menyelesaikan masalah ummah. Suara ulama’ sentiasa ditunggu dan diperhatikan oleh masyarakat Islam yang cintakan agamanya.
Firman Allah SWT dalam surah Faathir ayat 28 maksudnya:
Sebenarnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah ulama’ (orang yang berilmu).”
Mimbar amat yakin langkah umara’ atau pemerintah menjemput ulama’ dalam membincangkan isu-isu negara dari masa ke masa adalah selari dengan tuntutan Islam.
Adalah diseru ulama’-umara’ yang berada di kampung-kampung dan di bandar-bandar serta sidang jemaah sekalian dalam usaha memperkasakan ummah, marilah kita mewujudkan dan mengekalkan integriti berdasarkan syor seperti berikut:
  1. Bercakap benar dan mengakui kesilapan,
  2. Mengamalkan apa yang dicakapkan,
  3. Menunaikan janji dan komitmen yang dibuat,
  4. Bersedia menanggung risiko dalam usaha mempertahankan pendapat; dan
  5. Tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan diri.
Maksudnya: “Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami penuhi usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan daripadanya. Mereka tidak beroleh di akhirat kelak selain daripada neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan)”. (Sural Huud: 15-16)

No comments:

Post a Comment