بسم الله الرحمٰن الرحيم
إنَّ الحمدَ للَّهِ نحمدُهُ ونستعينُهُ ونستغفرُهُ ونعوذُ باللَّهِ من شرورِ أنفسنا ومن سيِّئاتِ أعمالنا ، من يَهدِهِ اللَّهُ فلاَ مضلَّ لَهُ ومن يضلل فلاَ هاديَ لَهُ وأشْهدُ أن لاَ إلَهَ إلاَّ اللَّهُ وحدَهُ لاَ شريكَ لَهُ وأنَّ محمَّدًا عبدُهُ ورسولُهُ
أما بعد، فإن أصدق الحديث كتاب الله وأحسن الهدي هدي محمد وشر الأمور محدثاتها وكل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة وكل ضلالة في النار
PENGENALAN MAZHAB & SEJARAH MAZHAB
Seperti mana yang para ikhwah sedia maklum, ilmu agama yang kita cari, yang kita semua berusaha untuk peroleh adalah suatu yang cukup penting lebih-lebih lagi mengenangkan situasi pada akhir zaman ini.
Banyak disebutkan dalam hadis tentang kepentingan ilmu khususnya di akhir zaman, antaranya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُرْفَعَ الْعِلْمُ وَيَثْبُتَ الْجَهْلُ وَيُشْرَبَ الْخَمْرُ وَيَظْهَرَ الزِّنَا
“Di antara tanda-tanda Hari Kiamat adalah diangkatnya ilmu dan kejahilan berleluasa.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)Ini adalah satu hal yang cukup menggerunkan kita. Dalam hadis yang lain, apabila diceritakan bagaimana ilmu itu diangkat, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan bahawa,
إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا
“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya dari para hamba, tetapi Allah mencabut ilmu dengan dimatikan para ulama, sehingga apabila ulama tidak tersisa lagi, manusia akan mengambil orang-orang yang jahil, maka mereka (orang-orang jahil) ditanya maka mereka berfatwa tanpa ilmu. Mereka menjadi sesat dan menyesatkan orang lain.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)Ini yang kita khuatir, memandangkan semua tanda-tanda itu telah banyak kita lihat di sekeliling kita. Ini sewajarnya memberi kesedaran kepada kita dan mudah-mudahan ia menguatkan lagi kesungguhan kita untuk terus mencari serta menambahkan ilmu agama sebanyak mungkin.
MUQADDIMAH MEMAHAMI ILMU FEQAH
Beberapa perkara perlu diperjelaskan sebagai muqaddimah sebelum kita membaca buku seperti Umdatul Ahkam ini.
Pengertian Umdatul Ahkam; Umdah (Asas) Ahkam (Hukum-hukum) yakni asas kepada hukum-hukum. Yang dimaksudkan dengan Umdatul Ahkam adalah asas kepada hukum-hukum fekah (permasalahan-permasalahan fekah).
Kita sedia maklum bagaimana kaitan ilmu fekah dengan ilmu mazhab-mazhab yang ada. Maka sejauh manakah kesahihan untuk kita mengikuti mazhab;
- Adakah dibolehkan untuk kita menjadikan mana-mana mazhab sebagai ikutan? Bagaimana pula tanggungjawab kita untuk mengikuti Al-Quran dan Al-Sunnah?
- Apakah kaitan antara keduanya; mengikut mazhab dan mengikut Al-Quran dan Al-Sunnah? Apakah kedua-duanya adalah perkara yang sama atau sebaliknya?
- Apa pula peranan para ulama dalam bermazhab, dan dalam mengikut kedua Al-Quran dan Al-Sunnah?
- Kemuncaknya, apakah kewajipan seorang Muslim dalam masalah-masalah fekah contohnya seperti yang akan kita hadapi apabila kita membaca buku seperti Umdatul Ahkam ini?
Maka beliau menjawab permintaan mereka lalu menghimpunkan hadis-hadis hukum yang disepakati kesahihannya oleh Al-Bukhari dan Muslim sahaja. Kesudahannya terhasillah buku Umdatul Ahkam ini; himpunan hadis-hadis hukum bersumberkan kedua kitab Sahih Al-Bukhari dan Muslim.
Jadi bagaimana kita berdepan dengan hadis-hadis hukum yang menyentuh bab fekah ini, apakah tanggungjawab kita? Apakah peranan mazhab, apakah peranan para ulama, dan bagaimana pula kita melaksanakan tanggungjawab beramal dengan kedua Al-Quran dan juga Al-Sunnah.
SEJARAH PERKEMBANGAN MAZHAB
Untuk lebih faham tentang masalah mazhab, ada baiknya kita lihat sejarah mazhab fekah itu sendiri. Bagaimana ia bermula, bagaimana ia berkembang sehinggalah seperti yang kita lihat pada hari ini.
Ilmu fekah telah melalui beberapa peringkat;
- Permulaannya adalah semasa zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam iaitu pada zaman turunnya wahyu; iaitu bagaimana proses ilmu-ilmu fekah, ilmu-ilmu hukum itu turun kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan diajar kepada para sahabat. Proses ini berterusan 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah.
- Setelah itu datang pula zaman atau peringkat kedua iaitu peringkat Sahabat. Para Sahabat didahului oleh Fuqaha-u Al-Sahabah (ulama-ulama fekah di kalangan para sahabat) yang didahului oleh para sahabat yang banyak meriwayatkan hadis seperti Ibnu ‘Abbas, Ibnu Umar, Ibnu Mas’ud, ‘Aisyah binti Abu Bakar dan lain-lain ulama-ulama yang banyak meriwayatkan hadis. Merekalah yang menjadi rujukan generasi yang datang berikutnya iaitu generasi Tabi’in.
- Generasi Tabi’in mempelajari ilmu agama termasuklah ilmu fekah daripada ulama-ulama fekah dari kalangan para Sahabat.
- Ilmu berkembang ke generasi berikutnya, Tabi’ Al-Tabi’in. Mereka mengembangkan ilmu secara umumnya dan ilmu fekah secara khasnya kepada generasi berikutnya iaitu Atba’ Tabi’ Al-Tabi’in. Pada generasi inilah lahirnya para ulama fekah seperti Abu Hanifah – ulama mazhab Hanafi (80H – 150H), juga ulama mazhab Maliki iaitu Imam Malik bin Anas (93H – 179H), kemudian ulama mazhab Syafi’i iaitu Muhammad bin Idris (150H – 204H), dan yang keempat, Ahmad bin Hanbal (164H – 241H).
Ketiga-tiga generasi pertama, fokusnya adalah pada Al-Quran dan Sunnah sebagai sumber ilmu fekah. Tetapi pada generasi berikutnya, fokus mula beralih kepada mempelajari mazhab ataupun ilmu yang dibawa oleh ulama yang kita sebutkan tadi, dan hakikatnya ada ulama-ulama yang lain seperti Sufyan Al-Tsauri dan lain-lain cuma ilmu mereka tidak berkembang dan berterusan, sampai satu ketika ia berhenti kerana kurangnya murid-murid yang mengembangkan ilmu mazhab ulama-ulama itu.
Jadi yang terus berkembang adalah ilmu keempat-empat ulama mazhab yang disebutkan tadi. Ia bermula dengan ilmu, tetapi lama kelamaan bertukar menjadi mazhab, satu aliran khusus yang mempunyai kaedah dan prinsip-prinsip yang diikuti.
Fokus mula beralih; dari fokus kepada Al-Quran dan Sunnah kepada fokus kepada mazhab. Kata-kata ulama dalam mazhab itu menjadi sumber utama kepada ilmu fekah yang dibincangkan, manakala dalil dari Al-Quran dan Al-Sunnah seakan-akan diketepikan dan dilupakan.
Pada suatu ketika sampai ke satu tahap di mana kata-kata ulama itu menjadi dalil dan hujjah. Bahkan jangan terkejut kalau kita lihat tidak ada dalil Al-Quran dan Sunnah yang disebut dalam buku-buku fekah mazhab. Apa yang ada semuanya aqwal Ulama (kata-kata Ulama).
Maka beralihlah umat Islam dari ittiba’ kepada Al-Quran dan Sunnah menjadi taqlid kepada mazhab. Pada tiga generasi pertama, keutamaan diberikan kepada ittiba’ Al-Quran dan Sunnah, tetapi pada generasi yang datang berikutnya sehinggalah ke hari ini, ia telah beralih kepada taqlid kepada mazhab (ikut mazhab semata-mata).
Apabila taqlid kepada mazhab menjadi trend, tentulah kejahilan, kejumudan dan ta’assub juga timbul. Apabila masyarakat sudah jahil terhadap Al-Quran dan Al-Sunnah, mereka sudah jumud kepada mazhab yang mereka pilih, datanglah ta’assub (fanatik). Dia akan mempertahankan mazhab sedaya mungkin. Dari situ timbul kebencian, permusuhan, dan perbalahan di kalangan umat Islam. Semuanya berpunca dari taqlid kepada mazhab.
KESAN BURUK TAQLID MAZHAB
Sejarah telah menunjukkan apabila taqlid kepada mazhab, timbullah permusuhan, kebencian dan perbalahan. Antara bentuknya adalah datangnya hadis-hadis palsu yang direka semata-mata untuk mempertahankan mazhab masing-masing.
Di antara hadis yang dibukukan dan disebutkan oleh para Ulama, yang mana hadis ini adalah maudhu’ (palsu): Dikatakan kepada Ma’mun bin Ahmad Al-Harawi, “Bagaimana pendapatmu tentang Al-Syafi’i dan para pengikutnya di Khurasan?” Dia menjawab, “Daripada Ahmad bin Abdillah bin Mi’dan daripada Anas secara marfu’,
يَكُوْنُ فِيْ أُمَّتِيْ رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ مُحَمَّدَ بْنَ إِدْرِيْسَ أَضرّ عَلَى أُمَّتِيْ مِنْ إِبْلِيْسَ وَيَكُوْنُ فِيْ أُمَّتِيْ رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ أَبَا حَنِيْفَةَ هُوَ سِرَاجُ أُمَّتِيْ
“Akan datang pada umatku seorang lelaki bernama Muhammad bin Idris, dia lebih bahaya bagi umatku daripada Iblis. Dan akan datang pada umatku seorang lelaki bernama Abu Hanifah, dia adalah pelita umatku. (Maudhu’. Tadrib Al-Rawi dan Lisan Al-Mizan)Hadis ini disebarkan oleh pengikut-pengikut mazhab Hanafi untuk mempertahankan mazhabnya dan memburukkan mazhab lawan (mazhab Al-Syafi’i). Di samping hadis, juga diletakkan kaedah-kaedah fekah (yang batil) sebagai asas dalam berhukum. Antara kaedah yang disebutkan oleh Ulama terdahulu iaitu Abu Al-Hasan Al-Karkhi Al-Hanafi (wafat 340H),
كُلُّ آيَةٍ تُخَالِفُ أَقْوَالُ أَئِمَّتِنَا مُؤَوَّلٌ أَوْ مَنسُوخ وَكُلُّ أَحَادِيثٌ كَذلِك
“Semua ayat (Al-Quran) yang menyalahi kata-kata ulama kita hendaklah ditakwil atau dimansuh (dibatalkan), dan semua hadis juga begitu (ditakwil atau dimansuh)”Kalau kita lihat kaedah fekah yang diletakkan ini, jelas mereka telah menjadikan kata-kata ulama itu sebagai asas utama dalam berhukum, beramal dan beribadah, kerana kata-kata ulama dijadikan asas, manakala Al-Quran dan Al-Sunnah dipaksakan mengikut pegangan ulama mazhab mereka. Mana-mana ayat Al-Quran atau hadis yang tidak selari perlu diselarikan, kalau tidak dapat diselarikan ia dianggap mansukh iaitu ayatnya ada tetapi hukumnya terbatal.
Sudah terbalik. Apa yang sepatutnya adalah Al-Quran dan Al-Sunnah dijadikan asas, dan kata-kata ulama yang perlu diselarikan.
Buku-buku fekah telah merakamkan perbalahan, perselihan di antara pengikut-pengikut mazhab sehingga ada pengikut mazhab menganggap batal solat di belakang pengikut mazhab yang lain, atau paling kurangnya makruh. Kemudian meleret dari bab solat kepada bab perkahwinan. Seorang lelaki Hanafi haram berkahwin dengan seorang perempuan Syafi’i. Sejarah fekah telah merakamkan bahawa hukum ini terus terlaksana dan diamalkan oleh pengikut-pengikutnya.
Mungkin pada hari ini kita tidak rasa, Alhamdulillah kerana ini satu nikmat, tetapi ia pernah berlaku dan berterusan, sehinggalah datang seorang Ulama Hanafi mengatakan boleh. Bahkan dia diberi gelaran Mufti Al-Tsaqalain (Mufti Jin dan Manusia). Setelah sekian lama ulama mazhab Hanafi kata tidak boleh, hukum itu dibukukan dan diamalkan, datang seorang ulama mengeluarkan fatwa mengatakan boleh.
Alangkah baiknya jika dia tarik semula hukum itu dan mengatakan boleh kahwin kerana sesama Islam, tetapi dukacitanya bukan itu kesnya. Sebaliknya, dia mengatakan boleh kahwin dengan perempuan Syafi’i kerana qiyas kepada Ahli Kitab.
Sungguh ta’assub dan dahsyat sampai ke tahap itu sekali. Tinggal dia hendak melafazkan bahawa orang yang berbeza mazhab itu kafir sahaja, tetapi dia tidak lafaz, mereka masih berhati-hati.
Inilah keadaan umat Islam, berterusan zaman berzaman. Taqlid kepada mazhab, taksub kepadanya, menjadikan kata-kata ulama sebagai panduan dan seakan-akan melupakan kedudukan Al-Quran dan Al-Sunnah.
Mereka seakan-akan lupa kepada firman Allah dalam surah Al-Nisaa ayat ke-59,
فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَىْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللهِ وَالرَّسُولِ
“Sekiranya kamu berselisih di dalam sesuatu permasalahan maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul (Al-Quran dan Al-Sunnah).” (Surah Al-Nisa, 4: 59)Juga firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat yang ke-105, Allah mengatakan,
وَلاَ تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِن بَعْدِ مَاجَآءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُوْلاَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمُ
“Dan janganlah kamu menjadi seperti mereka yang telah berpecah dan berbalah sesudah datang kepada mereka penjelasan, dan sesungguhnya bagi mereka azab siksa yang pedih.” (Surah Ali Imran, 3: 105)Ayat ini merujuk kepada umat terdahulu daripada kalangan Ahli Kitab dan lain-lain, di mana para Rasul telah diutuskan tetapi mereka tidak mengikut panduan para Rasul, sebaliknya mereka berselisih dan berbalah, maka Allah memberi peringatan kepada mereka. Tetapi dukacitanya seakan-akan keadaan umat Islam turut mengikut seperti apa yang telah berlaku kepada umat-umat terdahulu.
Maka kita hendak tegaskan, ini menjadi asas kita apabila kita berbincang dan membacakan hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang dibukukan oleh Syaikh Al-Maqdisi ini, iaitu wajibnya kita berpegang kepada dalil Al-Quran dan Al-Sunnah.
Di antara dalil yang cukup banyak, antaranya dalam surah Ali Imran ayat ke-132,
وَأَطِيعُوا اللهَ وَالرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Dan taatilah kamu akan Allah dan Rasul semoga kamu dirahmati.” (Surah Ali Imran: 132)Juga dalam surah Al-Nur ayat ke-63, Allah memberi amaran dan peringatan kepada mereka yang tidak ikut suruhan ini,
فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Maka berjaga-jagalah mereka yang menyelisihi suruhan RasulNya, dikhuatiri mereka akan ditimpa fitnah atau mereka akan ditimpa azab yang pedih.” (Surah Al-Nur, 24: 63)Para Ulama mengatakan fitnah dalam ayat ini adalah kekufuran, menunjukkan betapa bahayanya kalau kita menyelisihi panduan Al-Quran dan Al-Sunnah iaitu boleh membawa kepada kekufuran dan kesyirikan di dunia, adapun di Akhirat akan ditimpa azab yang pedih.
Juga surah Al-Ahzab ayat ke-36,
وَمَاكَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلاَمُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللهُ وَرَسُولَهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةَ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلاَلاً مُّبِينًا
“Dan tidak patut bagi seorang lelaki yang beriman dan bagi seorang perempuan yang beriman apabila Allah dan RasulNya menetapkan suatu hukum, mereka mempunyai pilihan selain daripadanya. Dan barangsiapa yang mengingkari Allah dan RasulNya maka dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (Al-Ahzab, 33: 36)Ini di antara ayat-ayat Al-Quran yang cukup banyak, insyaAllah sebahagian yang kita sebutkan ini telah memadai.
Adapun hadis yang juga cukup banyak, antaranya adalah hadis yang kita semua sedia maklum, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي
“Barangsiapa yang berpaling dari sunnahku maka bukan dari kalangan aku.” (Riwayat Al-Bukhari)Juga dalam satu riwayat yang juga diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan,
كُلُّ أُمَّتِيْ يَدْخُلُوْنَ الْجَنَّةَ، إِلاَّ مَنْ أَبَى قَالُوا : يَا رَسُوْلَ اللهِ وَمَنْ يَأْبَى؟ قَالَ : مَنْ أطَاعَنِيْ دَخَلَ الْجَنَّةَ، وَمَنْ عَصَانِيْ فَقَدْ أَبَى
“Semua umatku akan masuk Syurga, kecuali mereka yang enggan (tidak mahu).” Para sahabat bertanya, “Siapa pula yang enggan?” Baginda bersabda, “Barangsiapa yang mentaatiku dia akan masuk Syurga, dan barangsiapa yang mengingkariku maka dia enggan.” (Riwayat Al-Bukhari)Apa yang pelik, kita dapati Ulama mazhab yang dijadikan sebagai tokoh yang mereka taksub melebihi taksub mereka kepada Al-Quran dan Al-Sunnah juga turut menekankan kewajipan berpegang dengan Al-Quran dan Al-Sunnah. Bahkan mereka memberi peringatan supaya jangan taksub.
Mereka menyuruh hanya mengikut apa yang bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah. Adapun mana yang bertentangan, mereka secara jelas dan terang menyuruh kita tolak kata-kata mereka dan ikut Al-Quran dan Al-Sunnah. Di antara mereka adalah Imam Al-Syafi’i sendiri, di mana beliau mengatakan,
أجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلىَ أَنَّ مَنِ اسْتَبَانَ لَهُ سُنَّةٌ عَنْ رَسُولِ اللهِ لَمْ يَحِلَّ لَهُ أَنْ يَدَعَهَا لِقَوْلِ أَحَدٍ
“Kaum Muslimin telah ijma’ bahawa barang siapa yang telah jelas baginya satu Sunnah dari Rasulullah, tidak halal baginya meninggalkannya untuk mengikuti pendapat seseorang yang lain.”Juga Imam Al-Syafi’i mengatakan,
إِذَا وَجَدْتُمْ فِي كِتَابِي خِلاَفَ سُنَّةِ رَسُولِ اللهِ فَقُولُوا بِسُنَّةِ رَسُولِ اللهِ وَدَعُوا مَا قُلْتُ -وفي رواية- فَاتَّبِعُوهَا وَلاَ تَلْتَفِتُوا إِلىَ قَوْلِ أَحَدٍ
“Jika kalian dapati dalam kitabku sesuatu yang menyelisihi Sunnah Rasulullah, maka berpeganglah dengan Sunnah Rasulullah dan tinggalkan pendapatku –dalam riwayat lain Imam Syafi’i mengatakan– maka ikutilah ia (Sunnah) dan jangan pedulikan ucapan orang.”Kenapa kita tidak boleh taksub kepada para Ulama, tidak kira siapa pun dia? Ini kerana kita semua (Ahli Sunnah wal Jamaah) telah sepakat bahawa tidak ada yang maksum selain daripada Rasulullah. Namun apa yang mereka lakukan bercanggah dengan kata-kata mereka, kerana apabila mereka berinteraksi dengan kata-kata ulama, seolah-olah mereka memaksumkannya.
HUKUM BERPEGANG DENGAN MAZHAB
Kita secara terang dan jelas mengatakan bahawa tidak wajib ke atas seorang Muslim untuk berpegang kepada mana-mana mazhab tertentu. Sebaliknya, bergantung pada kedudukan atau keadaan seseorang itu. Perinciannya seperti berikut;
1. Orang awam
Bagi orang awam, mazhabnya adalah mazhab muftinya. Mufti yang dimaksudkan bukanlah seorang yang berjawatan mufti, tetapi mana-mana Ulama, Syaikh, Mufti, Ustaz, dan seumpamanya, iaitu orang yang dipercayainya sebagai berilmu dalam agama.
Sekiranya dia bertanya kepada muftinya dan muftinya berfatwa kepadanya, dia wajib mengikutinya, kecuali jika terjelas kepadanya kesalahan fatwa itu berdasarkan penjelasan fatwa daripada ulama lain yang dia percaya juga.
Untuk dia mengikat dirinya dengan satu-satu mazhab, untuk tidak keluar dari mazhab itu, maka itu adalah suatu yang batil kerana dia telah mewajibkan dan mengikat dirinya kepada sesuatu yang tidak wajib dan tidak patut. Firman Allah dalam surah Al-Anbiya’ ayat ke-7,
فَسْئَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَتَعْلَمُونَ
“Maka bertanyalah kamu kepada ahli zikir sekiranya kamu tidak tahu.” (Surah Al-Anbiya’, 21: 7)Ini suruhan Allah kepada orang yang tidak tahu (orang awam), iaitu bertanya kepada ahli zikir. Ahli zikir bererti ahli ilmu (Ulama) secara umumnya.
Tidak ada kita dapati mana-mana ayat Al-Quran menyuruh kita merujuk kepada mazhab atau ulama tertentu secara khasnya, apatah lagi dengan menyebut namanya; “Ikutlah Abu Hanifah”, “Ikutlah Malik bin Anas”, “Ikutlah Muhammad bin Idris”, semua ini tidak ada.
Ini bagi orang awam secara umum. Orang jahil kewajipannya bertanya, dan apabila Ulama menjawab, orang jahil yang bertanya wajib mengikutinya. Tidak boleh dia mengingkari kerana tidak sesuai dengan kehendak dan hawa nafsunya, sedangkan dia bertanya kepada Ulama itu kerana yakin pada ilmunya.
2. Orang ‘Alim atau Ulama
Bagi Ulama atau orang yang berilmu tentang Al-Quran dan Al-Sunnah, kewajipannya adalah mempraktikkan ilmunya. Apa gunanya berilmu tetapi tidak beramal? Maka menjadi kewajipannya untuk beramal dengan ilmu Al-Quran dan Al-Sunnah yang ada pada dirinya.
3. Muttabi’
Kedudukan Muttabi’ adalah di pertengahan antara orang jahil dan Ulama. Muttabi’ ialah orang yang mengikut sesuatu dengan mengetahui dalilnya. Dia tidak jahil dan pada masa yang sama banyak benda juga yang dia tidak tahu.
Muttabi’ berbeza dengan Muqallid. Muqallid ertinya orang yang bertaqlid, mengikut kata-kata orang tanpa mengetahui dalilnya. Dukacitanya, rata-rata masyarakat Islam yang jahil memilih untuk menjadi muqallid. Ini masalah. Bahkan di kalangan Ulama, mufti, qadhi sekalipun ada yang memilih untuk jadi muqallid. Sedangkan muqallid maknanya orang yang jahil, kerana itu dia ikut.
Bagaimana hendak membezakan antara muqallid dengan muttabi’?
- Orang muqallid (kepada mazhab), apabila dia bertanya dalam masalah yang dia tidak tahu, dia tidak bertanya hukum Allah dan RasulNya, sebaliknya dia bertanya apa kata-kata ulama itu. Ini objektifnya dalam masalah agama; bertanya apa kata Ulama. Dia tidak bertanya apa kata-kata Allah dan apa kata-kata Rasul. Jika kata-kata ulama mazhabnya menyelisihi Al-Quran dan Sunnah, dia akan tetap mengikut kata-kata mazhabnya walaupun bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah.
- Adapun muttabi’ -kita memohon daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala supaya kita tergolong dalam golongan ini- apabila bertanya, dia akan bertanya hukum Allah dan RasulNya. Adapun kata-kata mazhab, itu tidak penting baginya. Jika dia mengetahui kata-kata mazhab dia bersyukur, jika dia tidak tahu dia tidak merasa rugi. Dia tidak mengikat dirinya kepada mana-mana mazhab atau mana-mana Ulama. Dia akan bertanya/merujuk kepada mana-mana Ulama yang dia percaya dan yakin dengan ilmunya. Baginya, kebenaran tidak semestinya ada pada individu tertentu, tetapi kebenaran itu boleh datang daripada mana-mana ulama. Bahkan muttabi’ akan meninggalkan kata-kata ulama yang pertama untuk mengikut kata-kata ulama yang kedua apabila terjelas kepadanya kelemahan hujjah ulama yang pertama, kerana matlamatnya adalah beramal dengan apa yang paling hampir dan bertepatan dengan Al-Quran dan Al-Sunnah.
Bukan sebaliknya; di mana Al-Quran dan Sunnah dijadikan pintu untuk sampai kepada pendapat Ulama seperti yang dilakukan oleh muqallid. Mereka cuba memusingkan maksud ayat Al-Quran dan Sunnah supaya selari dengan kata-kata mazhabnya, jika tidak dapat, mereka mengatakan ianya mansukh (terbatal).
وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
No comments:
Post a Comment