بسم الله الرحمن الر حيم
إن الحمد لله نحمده تعالى ونستعينه ونستغفره ، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا ، من يهديه الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له ، واشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، واشهد أن محمد عبده ورسوله {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون} سورة: آل عمران– الآية: 102
PANDANGAN ISLAM TERHADAP SEKULARISME
Persoalan sekularisme amat penting diteliti kerana ia menjadi pencetus kepada isme-ismeatau fahaman-fahaman moden yang lain. Daripada ideologi sekular ini, muncullah fahaman-fahaman yang sangat bertentangan cara hidup Islam. Fahaman-fahaman moden ini seperti materialisme, pragmatisme, logikalisme, kapitalisme, sosialisme, naturalisme yang semuanya akan berakhir dengan teori Atheisme.
Munculnya fahaman-fahaman moden Barat menjadi ancaman khususnya pada kefahaman Islam yang sebenar. Fahaman-fahaman ini akan mudah mempengaruhi pemikiran umat Islam kerana Barat mempunyai kekuasaan dan teknologi. Dengan itu, mereka dengan mudah serta dapat menyebarkan ideologi mereka.
Ini jelas kepada kita , pengetahuan tentang Islam dengan lebih mendalam amat penting dalam usaha meningkatkan ilmu Islam dan menyebarkannya agar umat Islam tidak mudah terpedaya dengan teori-teori yang boleh menjejaskan akidah mereka. Tambahan lagi, Kesan ilmu agama yang cetek dan tanpa kawalan sosial serta tanpa pendidikan Islam dari kecil lagi menyukarkan ilmu agama dapat disalurkan dan dijadikan sebagai satu cara hidup.
Demikianlah, ancaman kepada Islam terus berlaku. Ancaman ini disebut sebagai serangan pemikiran dan ia merupakan ancaman besar dan berbahaya kepada Islam kerana Ia menyerang prinsip asas ajaran Islam dengan prinsip asas mereka iaitu cuba memisahkan urusan dunia dengan urusan akhirat dengan cara memisahkan setiap aspek kehidupan manusia dalam prinsip agama Islam. Oleh itu, perlu difahami apakah sekularisme dan sejauh mana ia bertentangan dengan Islam melalui penelitian semula tentang prinsip-prinsip ajaran Islam.
Justeru, kami tiga ahli berkumpulan telah membahagikan tugas dengan mencari pandangan Islam terhadap sekularisme dengan meneliti dan cuba mengkaji serta membincangkan bersama-sama. Seterusnya, kami akan membentangkan kepada 3 bahagian iaitu pertamanya definisi sekular. Keduanya pula ialah pandangan Islam terhadap tiga prinsip asas sekular dan ketiganya pandangan Islam terhadap pengaruh sekularisme dalam aspek-aspek kehidupan manusia, yang mana semuanya merangkumi 6 aspek yang akan dibentangkan dalam kertas kerja ini.. Kami berharap, kami dapat menjawab kepada persoalan tajuk dan sekali gus membantu kami memahami lebih mendalam akan prinsip-prinsip sekular yang jelas sangat bertentangan dengan prinsip-prinsip ajaran Islam. Dengan menilai semula dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.
1.DEFINISI SEKULARISME
Menurut Kamus Dewan Melayu sekular ialah berkaitan dengan keduniaan, bersifat duniawi dan tidak berkaitan dengan keagamaan. Sekularismepula bermaksud fahaman (doktrin, pendirian, dan sebagainya) yang menolak nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan sosial manusia. Manakala ismeialah kepercayaan ,gerakan politik atau keagamaan ,sikap serta perlakuan. (Shopuan Anuar Ahmad 2003:77)
Sementara itu, dalam Kamus Dewan Inggeris secular bererti duniawi.Secular adalah berasal daripada kata Latin saeculum yang membawa makna yang menunjukkan kepada masa dan tempat. Masa atau zaman yang dimaksudkan adalah merujuk kepada masa sekarang atau masa kini. Manakala tempat pula merujuk kepada dunia atau yang bersifat keduniaan. (Shopuan Anuar Ahmad 2003:77)
2.PANDANGAN ISLAM TERHADAP PRINSIP SEKULAR
George Holyoake dalam ‘English Secularism’ yang diterbitkan pada 1896 menerangkan sekularisme sebagai Aturan peraturan yang berkaitan dengan kehidupan, berdasarkan nilai-nilai kemanusiaan dan disasarkan kepada mereka yang mendapati ajaran agama tidak mencukupi, tidak boleh dipegang atau tidak dipercayai. Mereka juga lebih mempercayai kepada kebijaksanaan akal mereka sendiri .
Beliau mengetengahkan 3 prinsip penting iaitu:
• Sains adalah panduan hidup bagi manusia
• Memperbaiki kehidupan dengan cara kebendaan
• Matlamat yang menghalalkan segala cara
2.1. Sains Adalah Panduan Hidup Bagi Manusia
2.1.1 Tanggapan Sains Moden Barat
Kebanyakan saintis-saintis Barat telah membuat pentafsiran bahawa alam tabi’i ini terjadi dengan sendirinya, tiada sesuatu kuasa ( di alam ghaib) yang mencipta alam zahir. Mereka juga membuat anggapan bahawa manusia wujud secara kebetulan menurut proses evolusi dari suatu sel purba dan zat yang mati boleh menjadi zat yang hidup secara kebetulan dan manusia wujud melalui proses perubahan haiwan yang telah dimanipulasikan oleh teori Darwinisme yang mengatakan manusia asalnya daripada Mawas.( Sulaiman Hj Noordin 1979:6) Tujuan mereka ialah menafikan kewujudan tuhan dan manusia pertama bukanlah Nabi Adam serta menafikan wahyu sehingga mereka lebih percaya pada kebijaksanaan akal mereka .( Sulaiman Hj Noordin 1979: 33 )
2.1.2 Pandangan Islam terhadap Sains
Sains Barat Moden adalah ilmu yang telah tersebar luas dan sangat berpengaruh di abad ini. Ia merupakan sebagai induk kepada pembangunan dan kemajuan pada zaman ini iaitu dengan berasaskan Sains dan Teknologi, sama ada di Barat mahupun di Timur, termasuklah di negara-negara yang sedang membangun.( Sulaiman Hj Noordin 1979: 1 )
Namun masalah yang muncul ialah Sains Moden telah dikembangkan oleh Barat Moden berdasarkan falsafah yang menafikan adanya Allah, mengingkari adanya roh, Nubuwwah, Wahyu dan Alam Akhirat. Acuan ilmu yang terpisah dari agama inilah yang merupakan rupa bentuk sains yang kini diajar di sekolah-sekolah dan di universiti-universiti di seluruh dunia. Hakikatnya , bahawa sains ialah ilmu Allah yang telah dianugerahkan kepada manusia untuk mencari keredaan-Nya.( Sulaiman Hj Noordin 1979: 1 )
Sungguhpun dalam Islam pernah mencapai ketamadunan gemilang hingga umat Islam memperoleh kejayaan yang tinggi dalam bidang sains, namun, tetap meletakkan tidak meletakkan ilmu sains lebih tinggi daripada pengajian Islam. Dan sesungguhnya insan yang termulia di antara umat Islam adalah mereka yang bertakwa dan mempunyai ilmu Islam yang luas. .( Sulaiman Hj Noordin 1979: 11)
Justeru, Sains hanyalah suatu alat untuk memperjuangkan Islam dan membina ketamadunan umat Islam. Kemajuan dalam bidang pengajian sains tabii bukan menjadi satu matlamat utama dalam pandangan Islam. Hakikatnya Sains telah lahir dari penyatuan roh Islam yang diterjemahkan dari al-Quran dan Sains yang telah sedia ada sekarang adalah yang diwarisi oleh Islam. .( Sulaiman Hj Noordin 1979: 12 )
Tambahan lagi, Sains ialah Ilmu pengetahuan yang diatur (sistematik) yang boleh diuji dan dibuktikan kebenarannya. Ia mengandungi aspek peninjauan dan eksperimen yang digalakkan oleh al-Quran. Dalam Islam alam Tabii itu telah diceritakan di dalam al-Quran mengenai segala aspek yang berbentuk penciptaan alam, tumbuhan, haiwan, dan manusia sendiri yang bertujuan untuk manusia memahami kebesaran dan kebijaksanaan Allah S.W.T. Selain itu, ilmuwan Islam juga banyak menjumpai fakta-fakta sains sangat berkait rapat dengan ayat al-Quran.( Sulaiman Hj Noordin 1979: 6 ) Ini menjelaskan bahawa al-Quran merupakan sumber ilmu sains kepada manusia selain daripada kebanyakan ilmu.
2.1.3 Pandangan Islam dalam menolak Teori Darwinisme
Pandangan Islam dalam menjiwai dan menghayati Sains sebenarnya adalah supaya kita berfikir secara logik dengan menggunakan data maklumat yang dikaji melalui pengalaman pancaindera tentang fenomena alam tabii. Islam juga menyuruh umatnya supaya membuka minda untuk mencari kebenaran tentang apa yang terbentang , bukan sahaja pada alam benda tetapi pada alam kelakuan dan diri. (Syed Muhammad Dawilah 2007: 15). Oleh itu kita disuruh memikirkan dan cuba melihat dengan mata hati dan akal tentang apa yang disampaikan supaya kita mencapai taraf keyakinan .
Oleh sebab itu, Allah bersifat Ar-Rahman, kerana Dia ingin manusia mengetahui dan memahami beberapa perkara tentang dirinya ( manusia) , alam, dan juga tuhan iaitu Allah. Di dalam firman-Nya jelas menunjukkan kekuasaan dan kebesaran dalam penciptaan-Nya.
Kepunyaan-Nya lah kerajaan langit dan bumi, dan dia tidak mempunyai anak dan tidak ada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan-Nya, dan Dia telah menciptakan segala sesuatu dan Dia menetapkan ukuran-ukuran-Nya dengan serapi –rapinya. ( Surah al-Furqan 25: 2)
Jelas dalam firman Allah, dalam penciptaan , pemeliharaan dan kekuasaan-Nya kepada hambanya. Oleh Itu, al-Quran mestilah dibaca dan ditafsirkan dengan maksud yang sebenar dan difahami. Usaha mencari ilmu dan kebenaran tentang tuhan menuntut kita merenungkan tentang mukjizat penciptaan alam fizikal dan rohani yang pelbagai. (Syed Muhammad Dawilah 2007: 18). Justeru, Wahyu Allah membolehkan kita menolak segala teori dan falsafah mereka tentang kewujudan tuhan dengan wujudnya alam ini, bermakna pasti ada yang menciptanya iaitu Allah.
Sememangnya kita jelas bahawa teori evolusi Darwin cuba menuju kepada suatu kenyataan bahawa nenek moyang asal manusia ialah kera purba atau beruk.Ini jelas menentang kemuliaan penciptaan manusia sedangkan Allah mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian. (Shopuan Anuar Ahmad 2003:63-64)
Tambahan lagi, teori evolusi tidak akan sedikit pun menggugat umat Islam bahkan ia tiada tempat dalam Islam. Al-Quran dan hadis dengan tegas dan jelas menyatakan bahawa manusia yang pertama ialah nabi Adam a.s. Daripada nabi Adam a.s penciptaan manusia bermula bukan daripada beruk atau kera. (Shopuan Anuar Ahmad 2003:63-64)
Begitu sempurnanya Allah dalam penciptaan manusia melalui peringkat-peringkat berikut. Firman Allah:
Dan sesungguhnya Kami mencipta manusia daripada pati (berasal) daripada tanah, kemudian kami jadikan pati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh( rahim) , kemudian air mani itu, Kami jadikan segumpal daging, lalu segumpal daging itu kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami balut dengan daging .Setelah sempurna kejadian itu, Kami jadikan dia makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. ( surah al-Mukminun 12-14)
Pendedahan dari wahyu al-Quran tentang kejadian manusia secara terperinci membuktikan kebenaran al-Quran, bahawa ia adalah daripada Allah. Ketika manusia belum mempunyai pengetahuan yang banyak tentang proses penciptaan manusia, al-Quran telah menjelaskan tahap demi tahap perkembangan janin dalam rahim. (Shopuan Anuar Ahmad 2003: 66)
Teori evolusi ini juga jelas menafikan wujudnya roh. Namun dari sudut pandangan Islam , ia sangat bertentangan. Di dalam Islam, Roh walaupun wujud di dalam tubuh manusia, tetapi ia tidak dapat dilihat (ghaib). Ini menunjukkan adanya roh suatu ilmu yakin yang berdalil.Ini membuktikan bahawa hasil pergerakan roh boleh mendatangkan keyakinan tentang wujudnya roh dalam tubuh manusia, samalah seperti wujudnya penciptaan alam berserta makhluk-makhluknya membuktikan wujudnya Allah sebagai Pencipta segala-galanya. (Ibnu Muhammad 1996:33)
Begitulah sifat sains yang sentiasa menemui sesuatu yang baru dan tersembunyi sebelumnya. Sains bergantung pada kekuatan akal manusia dan penciptaan alat yang sentiasa diperbaharui serta sentiasa terdedah dengan kelemahan. Oleh itu, sains semestinya dibimbing oleh wahyu supaya ia tidak mengeluarkan teori-teori yang dapat menyesatkan manusia daripada jalan yang benar. (Shopuan Anuar Ahmad 2003:74) Justeru, apa yang perlu difahami, teori evolusi hanyalah sebagai satu teori ilmu semata-mata.
Kesimpulannya, penghayatan agama sebenarnya bermaksud penghayatan sains sekiranya dengan sains kita bermaksud untuk mencari kebenaran tentang segala yang wujud iaitu manusia, alam dan Tuhan. Agama bertujuan memberikan kita ilmu, panduan dan kesejahteraan melalui pengetahuan pancaindera yang diproses oleh akal, di samping wahyu yang mengajar cara bagaimana kita harus bertindak balas segala yang boleh mencapai kesempurnaan apabila disertai dengan takwa. Kedua-dua agama dan sains adalah fitrah bagi manusia tanpa sains manusia kerugian besar, apabila ilmu tentang yang nyata dan yang ghaib, dan amal disatukan barulah kecemerlangan di dalam sains serta kehidupan keseluruhannya tercapai, maka tercapailah juga objektif agama. (Syed Muhammad Dawilah 2007: 19-20).
2.2 Memperbaiki Kehidupan Dengan Cara Kebendaan
Prinsip – prinsip utama fahaman sekular adalah meningkatkan penguasaan material di kalangan manusia. Prinsip ini diperjuangkan oleh golongan sekular supaya mempengaruhi pemikiran masyarakat. Idea ini Berjaya kerana pada masa itu, masyarakat Eropah sedang berpolimik dengan golongan gereja yang didakwa menguasai pentadbiran atau politik dan pemerintahan Negara. Matlamat kebendaan ini menjadi agenda penting dalam prinsip perjuangan sekular. Ia ditonjolkan sebagai perkara yang perlu dalam kehidupan masyarakat bagi mencari kebahagiaan yang sebenar dan berterusan di dunia ini. Aliran pemikiran ini berpendapat, perjuangan kebendaan menjamin mereka mencapai kehidupan yang bebas dan selamat (secure) ( Mardzelah Makshin 2006 : 75).
Tokoh ulama India iaitu Syeikh Abu Hassan Ali an-Nadwi telah menerangkan di dalam buku beliau yang terkenal ialah Riddah La Abu Bakar Laha (murtad: mengapa tidak ada Abu Bakar memeranginya). Di dalam buku ini, beliau menyebutkan bahawa umat Islam kini menghadapi ancaman murtad yang lebih berbahaya iaitu fahaman metarialisme (kebendaan) yang datang dari pengaruh barat. Menurutnya, metarialisme merupakan fahaman yang berdasarkan penolakan kepada agama dan pemikiran yang menafikan adanya Tuhan, alam ghaib, wahyu dan kerasulan. Sungguhpun penganjur-penganjur falsafah kebendaan ini tidak menganggapnya sebagai satu agama yang baru, namun pada hakikatnya falsafah ini adalah sejenis agama yang baru. Fahaman baru ini sedang melanda dunia Islam tanpa disedari oleh kita sendiri ( Muhd.Ramaizuddin Ghazali 2009: 111).
Al-Nadwi menjelaskan bahawa tamadun kebendaan yang menafikan ketuhanan merupakan dajjal yang membawa kerosakan ke atas dunia ini. Tamadun yang dilahirkan pada abad 17 dan mulai mencapai peringkat kematangan dalam abad ini. Tamadun kebendaan ini meletakkan kebendaan dan pemiliknya sebagai suci dan mengagungkan kebendaan dari segala-galanya.
Beliau turut menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan fahaman ini dapat menawan jiwa orang-orang Islam. Antaranya ialah pertamanya kelemahan orang Islam dari sudut keimanan, ijtihad dan ilmu pengetahuan. Fikiran menjadi sempit dan keghairahan terhadap agama mereka telah lenyap sama sekali. Keduanya para ulama tidak memainkan peranan yang sebenar dan tidak pula berusaha untuk memimpin orang Islam lain terutama anak-anak muda Islam. Ketiganya penjajahan yang berlaku ke atas negara-negara umat Islam. Orang-orang Islam mengkagumi falsafah barat yang dianggap mengandungi kebenaran dan kemajuan ( Muhd.Ramaizuddin Ghazali 2009:112).
Inilah di antara faktor yang menyebabkan fahaman ini meresap dengan cepat ke dalam jiwa orang-orang Islam. Tambahan pula, ulama tidak menyedari akan bahaya fahaman ini. Al-Nadwi melihat fahaman ini sebagai satu ancaman yang besar kepada umat Islam. Akhirnya, kebanyakan pemimpin negara Islam adalah hasil daripada pendidikan barat. Inilah sebab utama berlakunya pertarungan antara dua alam pemikiran yang berlaku di dunia Islam menyebabkan negara Islam terumbang-ambing.
Oleh itu, Islam sama sekali menolak prinsip sekularisme mengenai cara memperbaiki kehidupan dengan cara kebendaan. Amalan fahaman meterialisme ini hanya akan mengakibatkan umat Islam sibuk mengejar kebendaan dan melupakan agama. bahkan Allah juga telah berfirman di dalam surah al- Imran, tentang buruknya akibat mengikuti golongan kafir
Maksudnya : Jangan sekali-kali Engkau (Wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang Yang kafir di Dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka). (Semuanya) itu hanyalah kesenangan Yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.
(Surah al-Imaran: 196-197)
Di dalam Islam kita di ajar cara memperbaiki kehidupan untuk mendapat kejayaan bukan sahaja di dunia tetapi juga akhirat. Orang yang mendapat kejayaan hakiki dan abadi adalah orang yang memahami hakikat yang hidup ini hanya sementara dan dunia adalah tempat berjuang demi kebaikan akhirat yang kekal abadi. Oleh itu, Islam mengajarkan umatnya supaya meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah untuk memperbaiki lagi diri dan kehidupan. Keimanan adalah kunci kepada kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Apabila kita beriman kepada Allah maka kita akan melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Hidup yang dilandasi Islam nescaya orang itu akan mendapat ketenangan serta kebahagiaan kerana telah mengabdikan dirinya kepada Allah S.W.T semata- mata. Maka sesiapa yang mengejar akhirat nescaya dunia akan mengejarnya juga.
2.3 Matlamat Yang Menghalalkan Segala Cara
Menurut golongan sekular, apa sahaja perbuatan yang baik yang dilakukan adalah baik sama ada ia dilakukan dengan cara yang baik atau tidak. Hal ini kerana, golongan sekular berpendapat bahawa penilaian baik buruk sesuatu perkara adalah berdasarkan penilaian manusia semata-mata. Walaupun perkara yang dilakukan itu baik pada pandangan manusia, tetapi belum tentu ia baik pada pandangan Allah SWT.
Namun, berbeza dengan ajaran Islam iaitu, sesuatu perkara yang dilakukan adalah bergantung pada niat. Seperti dalam hadis Rasulullah SAW riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “sesungguhnya semua perbuatan dimulai dengan niat”. Adakah kita melakukan sesuatu itu dengan niat yang baik atau sebaliknya. Sekiranya baik niat kita, maka baiklah pekerjaan yang dilakukan kita itu di sisi Allah walaupun di sisi manusia tidak memandangnya.
3.PANDANGAN ISLAM TERHADAP PENGARUH SEKULAR DALAM ASPEK-ASPEK KEHIDUPAN UMAT ISLAM
Islam adalah suatu sistem (cara hidup) yang sempurna, menyeluruh dan lengkap yang merangkumi aspek-aspek aqidah, agama, pemerintahan, sosial, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.
3.1 Dalam aspek agama
Dalam aspek agama, sekular telah memberi kesan dengan membawa Fahaman pluralisme agama iaitu Negara harus membebaskan rakyat mengamalkan apa-apa agama, Fahaman pluralisme juga melihat bahawa semua agama harus dipandang sama dan memiliki kedudukan yang sama.
Dari sudut pandangan Islam tidak pernah memaksa orang bukan Islam untuk memasuki Islam. Firman Allah: Tiada paksaan dalam agama (surah al-Baqarah: ).Namun Islam melarang keras mereka yang menganut agama Islam diberi kebebasan percuma untuk keluar dari Islam dan memilih agama yang disukainya.
Islam menghargai toleransi agama lain tetapi tidak menganggap semua agama adalah sama. Dengan erti kata lain Islam tidak menganggap bahawa Tuhan yang disembah oleh orang Islam adalah Tuhan yang disembah oleh agama lain. Penyelesaian Islam terhadap pluralisme agama adalah dengan mengakui perbezaan dan identiti agama masing-masing Firman Allah: untuk kamu agama kamu dan untuk aku agamaku[Al Kafirun:6]. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Pluralisme_agama)
Jelas bahawa Agama Islam itu sudah lengkap dan sempurna. Dalam firman Allah:
Pada hari ini aku sempurnakan bagimu agamamu, dan aku sempurnakan ke atasmu nikmatku dan aku redai Islam sebagai agamaku. (surah al-Maidah :3)
Ini menjelaskan bahawa agama Islam satu-satunya pilihan agama yang akan mendapat keredaan di sisi Allah.
Dalam Islam tiada ajaran yang boleh dipadankan dengan fahaman sekularisme kerana Islam ialah ad-Deen atau suatu cara hidup. Ajaran Islam tidak memisahkan antara manusia dengan pencipta atau antara khaliq dengan makhluknya. Ajaran Islam adalah merangkumi seluruh kehidupan manusia sama ada dunia ataupun akhirat. Kerana itu, Islam mengatur hubungan antara manusia dengan manusia dan manusia dengan Allah. Nilai dalam Islam adalah nilai yang universal dan mutlak. Tambahan lagi, Islam sangat mementingkan soal kepentingan rohani dan jasmani. Tumpuan kepada jasmani sahaja membuatkan manusia itu tidak seimbang.Dan agama ini bersifat Rabbani iaitu agama ini datang dari Allah (Shopuan Anuar Ahmad 2003: 94)
Justeru, jelas kepada kita bahawa sekularisme dari aspek agama ini sangat bertentangan dengan agama Islam kerana segala tingkah laku manusia tidak terlepas daripada ikatan syarak. Oleh itu, tiada sebab mengapa umat Islam perlu meniru gerakan pembebasan daripada agama seperti di Eropah. (Shopuan Anuar Ahmad 2003: 96-97)
` Oleh itu, Perbuatan memutuskan hubungan kehidupan dengan agama sama dengan menafikan Allah dalam menentukan peraturan. Maka berlakulah tiada agama. Akhirnya tuhan tiada tempat dalam kehidupan. Hidup hanya di dunia tiada kehidupan selepas ini untuk pembalasan. Matlamat akhir sekular ialah manusia adalah manusia, Tuhan adalah Tuhan, dunia adalah dunia, dan akhirat adalah akhirat.(Shopuan Anuar Ahmad 2003: 110)
3.2 Dalam aspek aqidah
Dalam aspek aqidah pula, Sekularisme mendorong munculnya liberalismedalam berfikir di segala bidang. Kaum intelektual Barat ingin mengembalikan semua perkara kepada kekuatan akal manusia. Termasuk melakukan reorientasi terhadap segala sesuatu yang berkaitan dengan hakikat manusia, hidup dan kewujudan alam semesta ini. Munculnya berbagai aliran pemikiran seperti: Marxisme, Darwinisme, Freudianisme dan lain-lain yang mengenepikan nilai-nilai spiritual. Mereka menafikan adanya Pencipta, mengingkari misi utama Pencipta menciptakan manusia, alam semesta dan kehidupan ini, dan mereka lebih suka menggunakan logik akal sendiri.
Matlamat akhir sekularisme ialah manusia tidak bertuhan. Dunia ketika itu akan menganut fahaman ateis dan menanti saat kehancuran kerana tiada nilaian atau ukuran yang dapat dipegang oleh manusia kecuali berpegang kepada akal semata-mata. (Shopuan Anuar Ahmad 2003: 100)
Akidah Islam adalah pakej yang mesti diimani secara menyeluruh. Tidak boleh beriman secara sebahagian dan menolak sebahagian yang lain. Mengingkari salah satu darinya atau bahagian tertentu menyebabkan akidahnya ditolak. (Shopuan Anuar Ahmad 2003: 102)
Kepercayaan akidah kepada enam rukun iman yang melibatkan iman, yang mana ia adalah untuk memperkuatkan tali hubungan dengan suatu pegangan dan landasan yang teguh agar menenangkan hati dan jiwa ketika penyerahan diri kepada Allah. Apabila kita benar-benar beriman dan menyakini dengan dua unsur ini iaitu aqidah dan syariah yang bergandingan antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan dengan akidah yang sentiasa ditegakkan oleh iman dan syariah yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunah. (M. Junaid 1996: 68) Ini jelas menunjukkan, pegangan yang dipegang adalah al-Quran dan al-Sunah yang bersandarkan wahyu yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.aw. dan bukan kepada logik akal semata-mata sebagaimana fahaman sekularisme.
Antara ciri-ciri umum akidah ketuhanan ialah menyakini kewujudan yang maha esa, menafikan sifat keserupaan dan kekurangan bagi Allah, tidak cuba menyingkap zat Allah tetapi memerhatikan kejadian Allah tanpa berfikir akan zat-Nya. (Shopuan Anuar Ahmad 2003: 103-104)
Akidah ketuhanan yang paling asas sekali ialah Tauhid Rububiyyah iaitu iktikad( kepercayaan atau pegangan) adanya Tuhan langit dan bumi. Pengakuan bahawa Allah sahaja sebagai pencipta kesemua makhluk. Namun, golongan ateis, materialis dan sebagainya menolak kewujudan tuhan dengan hanya menyakini logik akal melalui bukti-bukti daripada sains semata. (Shopuan Anuar Ahmad 2003: 105-106).Seterusnya Tauhid Uluhiyyah dibina atas keikhlasan beribadat kepada Allah zahir dan batin.
Jika kita lihat, bagi mengetahui Tauhid Rububiyyah, manusia dapat mencapainya dengan kekuatan fikiran dan pengamatan terhadap alam ini. Tetapi Tauhid Uluhiyyah , manusia memerlukan utusan Allah yang bergelar rasul bagi menjelaskannya.
Antara tuntutan Uluhiyyah ialah wajib mengikhlaskan kecintaan kepada Allah, wajib menumpukan doa, tawakal dan mengharapkan Allah semata-mata, Wajib hanya takut kepada Allah sahaja, dan wajib menghadapkan kesemua ibadat hanya kepada Allah. Namun kita dapati bahawa, Pengaruh sekular dari aspek akidah ini telah melibatkan fahaman materialisme dalam kehidupan manusia. Manusia lebih berharap akan pergantungan kepada material atau kebendaan dengan harta dan sebagainya apabila mendapat malapetaka. (Shopuan Anuar Ahmad 2003: 114-115).
Tambahan lagi, manusia materialistik ini hanya menumpukan dunia sehingga mengabdikan diri kepada kebendaan atau dunia daripada mendahulukan ibadat kepada Allah. Sekiranya ia menyakini bahawa kebendaan atau makhluk memberi kesenangan atau memberi kemudaratan kepadanya, sesungguhnya dia telah pun jatuh kepada syirik kepada Allah. (Shopuan Anuar Ahmad 2003: 114-115).
3.3 Dalam aspek pemerintahan
Di dalam pengaruh sekularisme di dalam pemerintahan atau politik telah muncul beberapa orang pelopor antaranya adalah Niccola Marchiavelli yang dianggap sebagai pelopor pemikiran modern dalam bidang sains politik. Marchiavelli boleh dikatakan sebagai salah satu pelopor keberhasilan sekularisme. Ini di tunjukkan oleh tulisannya yang sangat mendasarkan pada prinsip pragmatism dalam berpolitik. ( Pranoto 2010: 115).
Setelah beliau memerhati tingkah laku pemerintah yang dianggapnya Berjaya seperti Cesare Borgia, dalam memerintah maka beliau membuat kesimpulan bahawa pemerintah yang berjaya haruslah tidak memiliki belas kasihan kerana ia hanya boleh bertahan ketika ia berlaku kejam, licik dan mampu menimbulkan ketakutan pada subjeknya. Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa agama hanya diperlukan sebagai alat kepatuhan, bukan kerana nilai- nilai yang terkandung dalam agama tersebut ( Pranoto 2010: 115).
Syeikh Muhammad Abduh menolak adanya pemisahan agama dari Negara atau pemisahan kekuasaan keagamaan dari kekuasaan orang awam dengan alasan bahawa pemerintah pada suatu Negara tidak akan terlepas dari agama yang dianutinya dan juga tubuh ada jiwa, jika seorang pemerintah menguasai tubuh manusia dan golongan agama menguasai jiwa mereka. Maka bagaiman terjadi pemisahan antara agama dan Negara. Pendapat ini mengungkapkan tentang reality bahawa di dalam tubuh ada jiwa yang tidak mungkin tepisah. Begitu juga agama dan Negara tidak mungkin dapat dipisahkan kerana agama adalah politik dan politik adalah agama. agama adalah sesuatu yang menjadi panduan didalam segala aspek kehidupan manusia (Nawal , Hibah 2002: 84-85).
Oleh itu, Islam ini sememangnya tidak dapat di pisahkan di dalam pemerintahan sesebuah Negara seperti yang dicanangkan oleh golongan sekular itu. Sistem yang dibangunkan oleh Rasulullah s.a.w bersama dengan kaum mukminin yang hidup bersama baginda di Madinah merupakan sistem politik yang terbaik dan pendapat ini tidak dapat disangkal lagi. Hakikatnya, Islam merupakan agama yang sempurna merangkumi urusan- urusan kebendaan dan rohani, dan mengurus tingkah laku manusia dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Bahkan para ilmuan Islam merangkum kedua hal itu dan tidak dapat dipisahkan kedua- duanya ( Dhiauddin 2001: 4).
Antara pendapat tokoh Islam iaitu Hasan al-Banna di dalam pendapat beliau mengenai masalah politik. Beliau berpendapat “jika ada yang menyangka bahawa agama tidak berkaitan dengan politik atau bahawa politik bukan sebahagian dari sasaran agama, bererti orang itu telah menzalimi dirnya sendiri, dan menzalimi keilmuannya terhadap Islam. Begitu juga pendapat Imam al-Ghazali r.a yang berkata “ ketahuilah , syariah adalah dasar, dan raja adalah penjaganya. Sesuatu yang tidak ada penjagaannya akan hilang. Daulah Islam tidak akan berdiri kecuali berdasarkan dakwah, sehingga menjadi agama risalah, bukan sekadar urusan pentadbiran, dan tidak menjadi pemerintahan yang bersifat material, beku dan tuli, yang tidak mempunyai roh. Dan dakwah Islam pun tidak berdiri kecuali di bawah naungan penjagaan Negara, bantuan dan kekuatannya (Herry 2008 : 203) .
Pendapat ini turut disokong oleh segelintir orientalis barat seperti Dr. V. Fitzgerald yang berkata “ Islam bukanlah semata- mata agama, tetapi juga merupakan sebuah sistem politik. Walaupun pada dekad- dekad terakhir ini terdapat beberapa kalangan dari umat Islam yang mengaku mereka sebagai kalangan modernis, yang berusaha memisahkan kedua- dua perkara itu. Namun seluruh gugusan pemikiran Islam dibangun di atas landasan bahawa Islam dan politik itu saling berhubung kait dan selaras serta tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain ( Dhiauddin 2001: 5).
3.4 Dalam aspek sosial
Dalam aspek sosial pula, sekularisme telah banyak mengakibatkan berlakunya kepincangan dalam kehidupan masyarakat Islam hari ini. Kesan yang paling nyata dari pemikiran sekularisme ialah perubahan dalam perwatakan individu. Perubahan perwatakan ini bermaksud, seseorang itu tidak lagi mementingkan kehidupan beragama tetapi lebih kepada menurut hawa nafsu, yang mana ia seterusnya mengakibatkan berlakunya kekosongan jiwa (Prof. Dr. Sidek Baba 2007: 31).
Kesan daripada kekosongan jiwa itu pula telah mengakibatkan moral dan akhlak para remaja khusus dalam masyarakat Islam hari ini kian runtuh. Contoh yang paling jelas yang boleh kita lihat ialah masalah pergaulan bebas di kalangan remaja masa kini. Ia merupakan pengaruh daripada ajaran sekular. Menurut sekular, mereka menghalalkan percampuran lelaki dan perempuan, zina, gay, lesbian dan lain-lain perkara sosial yang negatif (Prof. Dr. Sidek Baba 2007: 31).
Kesan dari semua itu, timbulnya pelbagai masalah sosial yang berlaku dikalangan remaja-remaja hari ini. Bercanggah dengan ajaran yang dianjurkan oleh agama Islam. Dalam Islam, pergaulan antara lelaki dan perempuan adalah sesuatu perkara yang dipandang secara serius. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa pergaulan merupakan fitrah bagi manusia. Islam tidak menghalang pergaulan di kalangan remaja, malah ia digalakkan, tetapi perlulah bergaul secara sihat yang mengira batas muhrim dan juga jenis aktiviti yang dilakukan. Islam mengharuskan pergaulan antara lelaki dan perempuan hanya atas dasar menuntut ilmu, melakukan kerja-kerja berfaedah dan menjauhkan pergaulan dari mendatangkan fitnah (Prof. Dr. Sidek Baba 2007: 31).
3.5 Dalam aspek ekonomi
Dalam aspek ekonomi, sebagaimana diketahui golongan sekular meletakkan keduniaan sebagai matlamat yang tidak ada kaitannya sama sekali dengan tuhan dan akhirat, maka bagi merealisasikan matlamat sekular, mereka menggubal sistem-sistem secara sesuka hati bagi memuaskan kehendak material semata-mata. Golongan sekular berteraskan ekonomi yang mencari keuntungan tanpa mempedulikan apa-apa nilai wahyu, mereka mengutamakan kepentingan individu atau golongan tertentu sahaja serta menindas golongan yang lemah di atas prinsip siapa yang kuat, dialah yang berkuasa. (ZainiNasohah2004: 172).
Antara sistem yang diguna pakai adalah konsep riba. Riba bukanlah sesuatu perkara yang baru. Ia telah wujud sejak dahulu lagi. Sebenarnya konsep riba membantut pertumbuhan ekonomi manusia. Ia diibaratkan sebagai lintah yang menghisap darah manusia. Akhirnya para peminjam hutang secara riba, terpaksa dihambakan oleh tuan yang punya harta tersebut yang semakin lama semakin bertambah hutangnya kerana gagal membayar hutang tersebut. Oleh sebab golongan sekular hanya berpijak kepada memberi keseronokan peribadi sahaja dengan segala apa yang didapati walau dengan apa cara sekalipun. Inilah yang membezakan ekonomi Islam dengan sekular. (ZainiNasohah2004: 172).
Dalam ekonomi Islam, untuk mendapat keuntungan alternatif yang ada, ia bukanlah dengan jalan riba, tetapi ia berasaskan sistem jual beli dan mudarabah. Dalam Islam,Allah SWT telah menjelaskan bahawa jual dan riba adalah berbeza. Jual beli adalah dihalalkan dan riba pula adalah diharamkan. (ZainiNasohah2004: 172).
Sekalipun konsep jual beli antara agama Islam dengan sekular adalah sama, iaitu dengan adanya ijab qabul, tetapi dalam Islam, ia berdasarkan niat kerana Allah SWT yang mempunyai hubung kaitkannya dengan akhirat, tanpa ada unsur penipuan untuk kepentingan peribadi semata-mata. Berbeza dengan sekular, yang hanya mementingkan keduniaan semata-mata dan menindas golongan yang lemah (ZainiNasohah2004: 172).
3.6 Dalam aspek pendidikan
Di dalam pengaruh sekularisme terhadap pendidikan, golongan sekular telah menanamkan fahaman bahawa ilmu pengetahuan hanya di perolehi daripada akal manusia, bukan dari agama. mereka juga menyatakan bahawa ilmu pengetahuan itu adalah bersifat bebas nilai. (A.Rahman 2005:124).
Pendirian ini dipegang oleh golongan sekularisme kerana mereka berpendapat ilmu seharusnya terpisah daripada nilai moral dan agama. fahaman seperti ini wujud hasil daripada proses sekularisme ilmu di bawah perancangan gerakan Yahudi Freemason sejak zaman Renaisans di Eropah. Mereka mendakwa bahawa ilmu pengetahuan seharusnya bebas dari kongkongan nilai moral dan agama tetapi mereka mengisikan dengan fahaman- fahaman sekular yang anti agama dan anti moral. (A.Rahman 2005:124).
Golongan ilmuwan Cuma memaparkan apa yang menjadi kenyataan, sedangkan golongan ulama yang momited mengutamakan apa yang seharusnya terjadi. Prof. Dr. Hamka sendiri pernah mengatakan bahawa seorang “akademisi” (lepasan univerisit) hanya berfikir menurut apa yang ada berdasarkan fakta, sedangkan seorang “akademisu” (lepasan surau) berfikir menurut apa yang semestinya dan terikat dengan cita- cita dan perjuangan. (A.Rahman 2005:124).
Selain itu, Hassan al-Banna juga turut mengkritik kesan yang terhasil daripada sistem pendidikan moden barat yang menyemaikan keraguan dan ajaran sesat dalam pemikiran orang Islam. Pendidikan menurut ajaran Islam hendaklah selari dengan ajaran Islam. Ilmu utama yang perlu adalah ilmu yang berkaitan Islam itu sendiri kerana Islam itu sudah mencakupi segenap aspek kehidupan dari segi rohani dan jasmani. Dasar ini bagi mencapai tujan pendidikan Islam itu sendiri (A.Rahman 2005:124).
Antara pendapat ulama mengenai tujuan pendidikan Islam ialah Naquib al- Attas menyatakan bahawa tujuan pendidikan yang penting haru diambil dari pandangan hidup ( philosophy of life). Jika pandangan hidup itu Islam maka tujuannya adalah membentuk manusia sempurna (insan Kamil) menurut Islam. Selain itu, Abd ar-Rahman an-Nahlawi berpendapat bahawa tujuan pendidikan Islam adalah mengembangkan fikiran manusia dan mengatur tingkah laku serta perasaan mereka berdasarkan Islam yang dalam proses akhirnya bertujuan untuk merealisasikan ketaatan dan penghambaan kepada Allah di dalam kehidupan manusia. (Mah Roqib 2009: 29).
Fahaman Sekularisme dilahirkan di Barat dalam zaman dan suasana yang tersendiri. Suasana itu amat berbeza dengan suasana negara umat Islam. Islam adalah berbeza daripada falsafah dan agam-agama yang lain. Fahaman Sekularisme tidak mempunyai relivansinya dengan Islam. Ternyata negara-negara yang secara mengikut aliran sekularisme tidak mendapat manfaat apa-apa selain daripada porak-peranda masyarakat dan rakyatnya.
Setelah jelas kepada kita bahawa Islam cukup sempurna dan sesuai untuk dijadikan satu cara hidup tanpa memisahkan urusan dunia dan akhirat dalam setiap aspek kehidupan manusia. Keseimbangan hidup yang selari dengan syariat memberi kehidupan yang baik kepada manusia tanpa perlu memikirkan secara logik akal tentang kewujudan Allah tetapi berfikirlah melalui penciptaannya serta sentiasa bergantung kepada Allah kerana Allah yang mencipta manusia , alam dan makhluk sebagainya.
Justeru penekanan yang telah dibuat, hasil semua pembincangan ini menjelaskan bahawa umat Islam perlu disedarkan dengan menyebarkan fahaman sekularisme yang boleh menjejaskan akidah dan sekali gus merosakkan kehidupan masyarakat Islam dan negara Islam. Pendedahan dengan pandangan Islam perlu diperluas bahawa Fahaman inilah ibu kepada fahaman atau ideologi lain yang akhirnya terus menafikan kewujudan Allah sebagai tuhan dan pencipta.
Begitulah perancangan Yahudi bagi menghapuskan umat Islam selepas tentera Salib gagal dan penat menyerang melalui ketenteraan kemudian bertukar kepada strategi halus iaitu melalui serangan pemikiran yang telah menular di dalam masyarakat Islam hari ini, yang mana strategi ini bagi menghancurkan Islam.
Justeru, Penekanan dalam soal ajaran Islam perlu diperhebat dan dilancarkan bagi membasmi keruntuhan akhlak dan sosial masyarakat dan memastikan setiap ruang pendidikan, pentadbiran, ekonomi jauh dari unsur dualisme yang boleh menghancurkan institusi keluarga, masyarakat dan negara.
Masanya sudah tiba untuk umat Islam kembali pada ajaran dan pegangan agama yang suci ini. Tidak ada jalan lain menebus dan menyelamatkan umat Islam daripada penindasan umat lain kecuali kembali kepada Islam dan mengikuti ajarannya.
No comments:
Post a Comment